#BOLASEPAK ~ Kedah kembali dahului Liga Super Malaysia 2017

KEDAH kembali merampas pendahulu Liga Super 2017 selepas menewaskan Melaka United 4-0 di Stadium Darul Aman, malam ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu kini mengumpul 18 mata mengatasi Pahang (16 mata) yang berada di tangga kedua.

Kedah yang mendapat sokongan lebih 25,000 penyokong mereka bermula garang dan berjaya menguasai perlawanan pada separuh masa pertama.

Jentera serangan Melaka United yang diketuai oleh Sergio Fabian Ezequiel Aguero dan dibantu pemain berpengalaman, Amri Yahyah gagal melakukan percubaan berbahaya apabila kelibatnya dikekang baik pertahanan tuan ruman, Zachary Michael Anderson.

Bagaimanapun usaha tuan rumah untuk memburu gol awal juga buntu apabila pertahanan lawan juga berjaya mengekang asakan Kedah.

Stadium Darul Aman bergema dengan sorakan akhirnya apabila Ken Ilso Larsen menjaringkan gol pada minit ke-33 hasil hantaran Sandro Da Silva untuk meletakkan Kedah di hadapan 1-0.

Pada minit ke-47 Kedah terus melebarkan jurang kepada 2-0 apabila Sandro tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Melaka United, Mohd Fazli Paat buat kali kedua.

Tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti selepas Ken Ilso ditarik dalam kotak penalti lawan oleh pertahanan mereka, Isma Alif Mohd Salim.

Kedah terus menjarakkan kedudukan kepada 3-0 sekali lagi hasil jaringan Sandro selepas menerima hantaran Syazwan Zainon menerusi satu serangan pantas pada minit ke-79.

Tuan rumah terus bernafsu menambah jumlah gol dan berjaya melakukannya menerusi Ken Ilso apabila bijak menguis sepakan percuma Sandro untuk gol keempat Kedah pada minit ke-91.

Melaka United berusaha untuk merapatkan jurang gol namun keputusan semasa 4-0 kekal sehingga wisel penamat.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: