#GADJET ~ Samsung Galaxy S8 Akan Diperkenalkan 29 Mac Ini!

RAMAI sedia maklum dengan tragedi buruk yang menimpa peranti Galaxy Note7 tahun lalu apabila peranti itu memiliki masalah pada bateri sehingga dikatakan cepat panas dan mudah terbakar.

Bagaimanapun, itu bukanlah alasan pengeluar Samsung dari Korea Selatan untuk tidak tampil dengan sesuatu yang baharu bagi melakar kembali sejarah sebagai ‘otai besar’ jenama peranti android No.1 di dunia.

Menurut laman Forbes, Samsung dijangka memperkenalkan dua telefon pintar utama mereka, iaitu Galaxy S8 dan Galaxy Note8 yang akan diperkenalkan pada 29 Mac ini di sebuah acara khas di New York, Amerika Syarikat.

Buat peminat tegar Galaxy S7, rekaan terbaharu Galaxy S8 bukan lagi suatu misteri kerana sudah beberapa kali tertiris menerusi arena web dan melalui beberapa agensi media antarabangsa.

Peranti utama Samsung ini dilengkapi dengan skrin sebesar 5.8 inci dan satu lagi dengan panel bersaiz 6.2 inci. Ia merupakan ukuran yang lebih besar jika dibandingkan dengan paparan Galaxy S7 hanya 5.1 inci dan 5.5 inci.

Kedua-dua model tersebut bakal dilengkapi dengan panel QHD Super AMOLED, dan dijangka menawarkan nisbah skrin-ke-peranti sehingga 83 peratus.

Ia juga menggunakan cip Snapdragon 835 atau cip Exynos yang bergantung kepada kehendak pasaran dan dijana dengan menggunakan sistem operasi Android Nougat.

Menurut Samsung, model 5.8 inci akan menggunakan bateri 3000mAh manakala model 6.2 pula akan menggunakan 3500mAh.

Manakala kadar memori pula agak unik berbanding kebanyakan peranti premium di mana Galaxy S8 dijangka mengekalkan penggunaan memori 4gb RAM.

Seperti biasa, Samsung akan menggunakan rekaan versi edge, di mana skrin direka melengkung pada kiri dan kanan.

Sensor pengimbas cap jari dijangka akan diposisikan pada bahagian belakang, dibawah kamera. Perkara ini adalah kerana skrin hadapan dan ketiadaan butang ‘Home’ padanya.

Sementara itu, portal ZDnet melaporkan Galaxy S8 mungkin tidak mempunyai lingkaran kerangka di sekeliling skrinnya.

Ia juga dikatakan tidak mempunyai butang sentuhan pada bahagian muka telefon pintar itu, berbeza dengan model-model Galaxy sebelum ini.

Pelancaran model terbaharu Samsung ini boleh dikatakan sebagai sesuatu yang begitu dinanti-nantikan oleh para pengikut dan peminat fanatik gajet berasaskan android.

Sejak kejatuhan jualan Galaxy Note7 lewat tahun lalu, boleh dikatakan pesaing-pesaing seperti Huawei, Xiaomi Motorola dan LG cuba merebut bahagian dengan berlumba-lumba memperkenalkan model terbaharu sewaktu di Kongres Mobile World 2017 yang kebetulan sedang berlangsung pada masa ini.

Malah syarikat Nokia dan BlackBerry, yang dikatakan hampir ‘pupus’ daripada industri ini turut melancarkan produk-produk terbaharu mereka dengan rata-rata menerima sambutan positif dalam kalangan pengguna.

Mungkin ada hikmah di sebalik tertirisnya rekaan Galaxy S8 ini secara ‘besar-besaran’ di mana ia mungkin boleh dijadikan batu loncatan kepada Samsung untuk mengembalikan pengaruhnya dalam pasaran teknologi mudah alih. – MYNEWSHUB.CC


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: