#ISU RUU355 ~ 'Kalau kalah tak rugi, kalau menang untung' - PAS

JOHOR BAHRU – Keputusan BN untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 ke Parlimen sesuatu yang telah dijangka.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata, tindakan itu tidak akan merugikan Pas untuk membentangkan RUU tersebut secara sendirian.

“Apabila Pengerusi BN maklumkan, setelah berbincang rakan dalam BN, dia tidak bawa RUU itu ke Parlimen, jadi maknanya kita akan bawa bersendirian.

“Kita harap jadual yang ditetapkan dulu, tidak diubah, takut diletakkan belakang sekali kerana sudah bersendirian dan BN tidak sokong,” katanya kepada ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan muhibah ke pejabat Sinar Harian Biro Johor, semalam.

Mahfodz berkata, usul membawa RUU itu sebelum ini diserahkan kepada Umno untuk mendapatkan kelulusan dan sokongan.

“Dulu, kita mengharap Umno akan sokong kerana dengan harapan apabila dibawa oleh kerajaan, Umno dan parti-parti Islam lain akan sokong, tetapi hari ini memanglah sukar tetapi walau macam mana pun ada moving forward.

“Kalau dulu usul ini tidak pernah masuk Parlimen, tetapi sekarang dah masuk kali ketiga, jadi kita tawakal, kerana kalau kalah kita tidak rugi, kalau menang lagi untung, itu pendirian Pas.

Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN membuat keputusan tersebut yang selaras dengan amalan BN yang akan membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama parti komponen.

Sehubungan itu, katanya, pembentangan RUU 355 akan kekal sebagai rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akta tersebut diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1976 dan dipinda kali pertama dan kedua masing-masing pada tahun 1984 dan 1989 dan ia kekal sebagai akta Kerajaan Persekutuan.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: