#PELABURAN FOREX ~ 23,259 pelabur putih mata kerana terpedaya

KUALA LUMPUR - Seramai 23,259 pelabur menjadi mangsa kes skim pelaburan forex dengan anggaran kerugian mencecah hampir RM80 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, perkara itu didedahkan selepas pihaknya menerima sejumlah 408 laporan polis berhubung kes berkenaan yang dikendalikan oleh sebuah syarikat dikenali sebagai VenusFX.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kami mendapati syarikat ini memperdaya mangsa untuk membuat pelaburan minimum bernilai RM2,000 hingga RM40,000 dan pembayaran keuntungan akan dibuat secara harian.

"Pelaburan forex ini dibuat secara pelaburan manakala keuntungan dijanjikan tidak dibayar. Susulan itu, kami melancarkan operasi nuri untuk membanteras kegiatan ini di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan lima suspek lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur lingkungan 28 hingga 38 tahun.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan reman selama 21 hari untuk siasatan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2014 (Akta 297).

"Selain itu, kami merampas satu unit komputer riba, 10 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping kad ATM dan lima kenderaan pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM750,000 dalam serbuan yang dijalankan.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sedemikian," katanya.

Beliau berkata jika ditawarkan sebarang bentuk pelaburan dijanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat, segera membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan.

"Ini untuk memastikan kesahihan pelaburan itu sekaligus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ini," katanya. - Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: