#PIALA AFC 2017 ~ FELDA United sekadar seri dengan Hanoi di Shah Alam

  PEMAIN FELDA United, Zah Rahan Krangar (tengah) melepaskan rembatan yang gagal dihalang pemain Hanoi FC, Nguyen Dai Dong pada perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan 

SHAH ALAM: FELDA United FC terus kempunan untuk meraih kemenangan sulung dalam saingan Piala AFC apabila sekadar seri 1-1 dengan kelab Vietnam, Hanoi FC di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Ia adalah perlawanan kedua anak didik B Sathianathan dalam Kumpulan G selepas tewas 1-2 kepada kelab Singapura, Tampines Rovers pada aksi pertama, 21 Februari lalu.

Turun dengan misi memburu kemenangan sulung, FELDA United bermula garang menerusi percubaan Stuart Wark dari luar kotak penalti seawal minit keenam namun ditepis penjaga gol, Phi Minh Long.

 Bagaimanapun, selepas itu rentak permainan kedua-dua pasukan sedikit terganggu kerana permukaan padang becak akibat hujan.

FELDA United akhirnya berada di depan pada minit ke-22 menerusi sepakan lambung menarik Zah Rahan Krangar yang memperdaya Minh Long.

Bersambung babak kedua, Hanoi dilihat lebih banyak mengasak kubu pertahanan FELDA United untuk mencari gol penyamaan dan peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-53 menerusi percubaan Do Hung Dung yang hanya sedikit tersasar.

Nasib terus tidak menyebelahi Hung Dung apabila percubaannya dari luar kotak penalti sekali lagi tersasar di penjuru kiri pintu gawang FELDA United.

Ketika perlawanan tampak memihak FELDA United, usaha Hung Dung untuk mencari gol penyaman berhasil pada masa tambahan selepas rembatan derasnya dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol, Farizal Harun.[BH Online]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: