#RASUAH ~ Tidak kenal siapa yang dizalimi

HAMPIR setiap minggu, ada sahaja tangkapan dan siasatan SPRM yang diumumkan kepada kita. Bagus kerana ia menunjukkan SPRM berjaya menghidu dan membongkar perbuatan rasuah di kalangan mereka yang menyalahgunakan kuasa. Tidak bagus pula kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa rasuah sudah menjadi makanan harian mereka yang terlibat.

Betapa ada yang menyimpan wang di dalam laci, almari malah di dalam dinding. Betapa pula berkotak-kotak, berikat-ikat wang ringgit, mata wang asing, barang kemas, motosikal dan sejumlah kereta yang disita untuk menjadi barang bukti pendakwaan.

Rasuah pada hari ini nampaknya bukan lagi tindakan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi atau berpakat secara senyap-senyap untuk satu-dua transaksi sahaja. Ataupun ia berbentuk komisen yang dibayar secara beransur-ansur untuk sebuah kelulusan. Bukan duit kopi yang dihulur kerana mempercepatkan permohonan. Bukan juga wang yang diselit ke dalam kotak mancis untuk lepas daripada dikenakan saman.

Sebaliknya rasuah pada hari ini sudah menjadi suapan tetap seperti ufti yang dibayar oleh pemberi kerana berasakan dirinya kecil, kepada penerima yang dianggapnya amat berkuasa. Lebih buruk lagi, ia bukan diberi kepada seorang. Tetapi ia dihulur kepada sekelompok mereka di sesebuah bahagian pentadbiran. Maknanya rasuah yang berlaku itu dianggotai oleh sebuah sindiket.

Ia adalah jenayah terancang. Ada yang meluluskan, ada yang jadi pengutipnya, ada yang jadi pengawal dan ada yang jadi penyimpan harta haram yang diperoleh. Hampir pasti, yang meluluskan sesebuah permohonan untuk mendapat habuan itu adalah orang yang berkuasa.

Jika rampasan itu bernilai berjuta ringgit, tentulah orang yang meluluskan itu punyai kuasa meluluskan permohonan yang bernilai juta-juta juga. Dan oleh kerana ia dilakukan oleh sebuah kumpulan, tentu sekali setiap anggotanya sama-sama lindung melindungi. Tidak ditukar ke mana-mana bahagian lain demi menutup rapat kebusukan angkara durjana itu.

Kita yang mengikuti berita-berita mengenai tangkapan ke atas mereka yang bakal didakwa melakukan rasuah ini mula berasakan bahawa perbuatan keji ini sudah berakar umbi. Sudah menjadi budaya. Bayangkan, bagaimana bila seorang petugas yang baharu memasuki organisasi itu?

Dia akan dipengaruh hingga akhirnya menjadi salah seorang anggota rahsia itu. Apabila hari demi hari dia melihat penyelewengan yang sudah menjadi prosedur standard operasi jabatannya, akhirnya dia lemas dan tenggelam menjadi salah seorang daripada mereka. Bagaimana pun, jika dia berdegil kerana punyai prinsip dan pegangan agama yang kukuh, mungkin sekali dia akan disisihkan atau ditukar sahaja ke bahagian yang lain.

Bagaimana pula kesan si perasuah itu terhadap keluarganya? Barangkali pada mulanya si anak isteri hanya dikongsi habuan dalam bentuk hadiah istimewa ulang tahun, lulus peperiksaan, percutian, malah juga umrah untuk mencuci dosa. Lama kelamaan, bau harum ringgit, bau beg kulit, kerlipan rantai dan loket dan deruman enjin kereta mengaburi deria mata hati si anak isteri hingga akhirnya mereka tidak sedar dunia hitam yang mereka lalui.

Tidak menghairankan apabila sudahnya, satu keluarga buat-buat tidak tahu daripada manakah hasil luar biasa yang diperoleh oleh si ketua keluarga. Dan satu keluarga turut ketagihan dengan kemewahan dunia penuh lip-lap sehingga mereka boleh enjoy berbelanja daripada sumber pendapatan yang begitu pelik banyaknya dan aneh daripada mana datangnya.

Maknanya perbuatan rasuah bukan sahaja diterima sebagai sesuatu yang biasa di dalam sesebuah bahagian yang punyai kuasa. Tetapi ia dianggap rezeki oleh segenap anggota keluarga. Tidak keterlaluan jika terdapat saudara-mara yang memperoleh tempias daripada kekayaan ini kerana bersubahat dengan si perasuah itu sebagai penerima habuan sebagai proksinya.

Pelaku yang menjadi pelakon utama sebenarnya bukannya tidak sedar dunia gelap yang dia heret keluarganya lalui. Sesekali fitrah insaniah akan menyentuh hati kecilnya akan betapa besarnya dosa yang ditanggung apabila memberi kepada yang tidak berhak kerana menafikan yang berhak.

Namun, pelakunya begitu jauh dan panjang angan-angannya. "Esok lusa, aku akan bertaubat. ALLAH Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Tentu Dia akan ampunkan segala dosa-dosaku."

Dia terlupa bahawa dosanya itu melibatkan manusia yang dizalimi. Kepada mereka inilah yang perlu dia pohon ampun. Logiknya, sempatkah dia pohon ampun kepada ratusan malah ribuan manusia yang dia zalimi itu? Apakah dia masih ingat malah kenal setiap orang daripada mereka itu?

“Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seakan-akan dia berdiri di kaki gunung. Ia takut gunung itu akan menimpa dirinya. Sementara orang durhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang dengan begini saja (sambil menepiskan tangan), maka dengan mudah lalat akan terbang”. [HR Bukhari Muslim].

Kembalilah ke jalan yang dirahmati kerana di situ ada pengampunan. Membawa sebutir dosa itu lebih berat daripada memikul seguni wang dari hasil yang haram. Nauzu billahi min zalik.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: