#RENCANA ~ Kaji semula kontrak insurans agar lebih telus

SETIAP pelanggan mempunyai hak mutlak untuk tidak menyertai mana-mana perlindungan insurans hayat atau takaful sekiranya tidak memahami terma-terma yang kurang jelas atau menimbulkan keraguan.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam), Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam kenyataan bersama berkata, sekiranya kontrak insurans hayat atau takaful telah berkuat kuasa, terdapat peruntukan tempoh bertenang selama 15 hari dari tarikh penerimaan dokumen polisi insurans hayat atau takaful.

“Sepanjang tempoh ini, pemegang polisi insurans hayat dan takaful boleh mengkaji semula kontrak dan mendapatkan bayaran balik sekiranya kontrak itu tidak memenuhi keperluan mereka.

“Syarikat-syarikat insurans dan takaful juga diwajibkan menggunakan bahasa mudah (sejak 2011) dan mengamalkan pendekatan pelbagai untuk menjelaskan terma-terma penting kepada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan bahasa yang mudah dapat meningkatkan ketelusan dan pendedahan kepada produk insurans serta takaful.

Katanya, pelanggan juga berhak mendapat maklumat yang relevan, tepat, boleh dipercayai dan setanding mengenai produk serta perkhidmatan, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat sesuai dengan kemampuan kewangan dan keperluan pelanggan.

Sinar Harian melalui laporan SOROT pada 5 Mac lalu, mendedahkan isu berkaitan insurans terutama membabitkan perkara tuntutan yang tidak dibayar.

Dalam laporan tersebut, SOROT menyentuh beberapa isu termasuk, ‘Bayar tapi tidak dibayar’, 'Akui wujud polisi insurans tidak jelas’, ‘Memang wujud ejen penipu’ dan ‘Apa itu insurans takaful’.

Sementara itu, bagi memperkasakan perlindungan kepentingan pengguna dan memupuk industri yang mengamalkan kebertanggungjawaban, integriti serta kecekapan, industri insurans dan takaful memperkenalkan kemudahan pertanyaan awam melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Kemudahan ini akan membantu pengguna memeriksa kesahihan individu yang mereka berurusan untuk memastikan ejen tersebut berdaftar dengan Liam, Piam atau MTA.

"Pengguna dinasihatkan supaya menghubungi Liam, Piam atau MTA sekiranya mereka berdepan dengan ejen tidak bertauliah yang tidak dibenarkan mempromosi, memasarkan dan mengedar produk insurans serta takaful di pasaran.

Ejen insurans perlu jalani latihan 30 jam

Ejen-ejen insurans dan takaful dilantik wajib menjalani latihan agar dapat memberi maklumat serta khidmat nasihat yang tepat dan telus sebelum pelanggan membeli produk insurans serta takaful.

Antara syarat untuk menjadi ejen insurans dan takaful, mereka perlu menjalani program pembangunan profesional (PPB) berterusan selama 30 jam dalam sektor insurans hayat atau 20 jam dalam sektor insurans am.

“PPB ini adalah satu kriteria untuk mengekalkan kontrak mereka. Ejen juga dikehendaki menjalani kursus asas pengurusan dan mengamalkan kod etika iaitu garis panduan asas bagi menerapkan standard profesionalisme dan integriti yang tinggi dalam kalangan mereka.

“Kod etika ini merangkumi rukun amalan jujur, bertanggungjawab, telus dan membawa agenda sosial untuk masyarakat,” katanya.

Menurutnya, industri insurans hayat dan takaful telah mengaplikasikan Rangka Kerja Standard Minimum untuk melayani pelanggan secara adil (TCF Framework).

Rangka Kerja TCF melibatkan keseluruhan spektrum perkhidmatan insurans hayat dan takaful, bermula daripada mencari pelanggan sehingga penamatan sijil untuk memastikan pemegang polisi insurans hayat dan sijil takaful dilayan secara adil.

Terdapat juga keperluan memastikan reka bentuk produk sesuai dan munasabah untuk profil pelanggan, syarat-syarat polisi insurans hayat serta takaful dan layanan yang adil selepas pemasaran perkhidmatan kepada pelanggan.

“Sekiranya pemegang polisi insurans hayat atau takaful tidak memahami terma-terma yang terkandung di dalam kontrak, mereka boleh merujuk terus kepada khidmat pelanggan syarikat untuk keterangan lanjut,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: