#RENCANA ~ Remaja kurang ilmu agama faktor sumbang mahram

Gambar Hiasan

KEFAHAMAN dan ilmu agama di kalangan umat Islam yang semakin berkurangan khususnya melibatkan golongan remaja antara faktor yang menyebabkan mudahnya terdedah kepada gejala sumbang mahram dan maksiat, kata penceramah, Husam Baderuddin. Menurutnya, perkara itu tidak boleh dipersalahkan kepada remaja sahaja, sebaliknya ia memerlukan tanggungjawab semua pihak dalam usaha mencegah kemungkaran.

“Kita amat terkejut dengan data oleh Jabatan Kesihatan Kedah yang menunjukkan peningkatan mendadak berhubung kes remaja hamil yang tidak berkahwin di Kedah untuk tempoh 2015 dan 2016.

“Sebagai ahli agama, saya rasa risau dan kecewa atas apa yang berlaku. Sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu memainkan peranan jika ternampak sebarang kemungkaran yang berlaku di depan mata,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin juga perlu memainkan peranan penting melalui jabatan dan agensi sedia ada terutama mengadakan pemantauan dan sekatan terhadap kebebasan di media sosial.

“Kita harap pemimpin berkaitan memainkan peranan misalnya menyekat laman web lucah dan gejala negatif. Bukan kita nak menuding jari, tapi ini sebahagian daripada tanggungjawab bersama.

“Kepada ibu bapa pula mungkin perlu perhalusi bagaimana kebebasan yang diberikan kepada anak masing-masing. Ada ibu bapa yang memberikan telefon pintar kepada anak-anak dan mereka menyalahgunakan telefon pintar itu dengan menonton video lucah,” katanya.

Husam berkata, perkara itu merupakan antara faktor yang boleh menyumbang dan mendorong golongan remaja kepada gejala yang tidak sihat. Maka didikan agama yang sempurna perlu diberikan.

“Wahai remaja, tolonglah jangan fikirkan keseronokan semata-mata. Benda seronok ini bukan seronok selamanya. Fikirkan masa depan dan jangan menyesal di kemudian hari.

“Kepada masyarakat pula hendaklah mengambil perhatian kalau melihat perkara yang tidak baik, kita kena tegur dan tidak boleh mengharapkan kepada pihak berkuasa sahaja,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan pengaruh budaya luar di Kedah antara faktor yang menyumbang kepada perlakuan negatif di kalangan remaja.

“Jangan kita tuding jari kepada penguatkuasa jabatan agama Islam semata-mata kerana kita juga kena faham bawa unit mereka terhad.

“Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu memikirkan bagaimana cara nak atasi masalah ini. Pergaulan bebas amat ketara di tempat-tempat rekreasi dan disalah gunakan sebagai sarang maksiat,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: