#SENSASI ~ PRU14 bakal hukum pengkhianat Tok Guru

Mohd Nassuruddin

KOTA BHARU - Pas membayangkan biarpun Datuk Husam Musa sudah ‘hidup’ dengan Amanah namun belum tentu Adun Salor itu boleh mencapai impiannya bersama parti itu pada PRU14 akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mahukan golongan muda dan rakyat bangkit untuk menghukumnya pada Pilihan Raya Umum nanti.

Mohd Nassuruddin berkata, sejak kebelakangan ini pun, terlalu banyak perkara yang mengelirukan dan mengarut dibangkitkan termasuk isu baiah dan tuduhan dana RM90 juta oleh Umno untuk Pas.

“Orang yang langgar sumpah setia (baiah) kita tidak boleh ikut...Bila orang muda sokong kita, Insya-ALLAH dalam pilihan raya nanti, bukan Umno sahaja kalah tetapi Amanah akan hilang deposit,” katanya pada ceramah Baiah: Siapa Khianati Tok Guru di sini malam kelmarin.

Ceramah yang diadakan di tapak Pasar Lama Kok Lana situ turut disertai Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah, Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan Yang Dipertua Pas Ketereh, Wan Ismail Jusoh.

Mohd Nassuruddin yang juga AJK Pas Pusat turut meminta Husam mengumpulkan bukti sebagaimana dakwaannya, Pas telah menerima dana RM90 juta daripada Umno.

“Tunjuk bukti kalau kata Pas makan duit, duit itu berada dengan siapa, siapa yang ambil. Macam mana dia tahu? Kalau dia tahu kena beritahu. Kalau tiada bukti jangan tuduh. Kita pun buka supit (bekas) kutip duit di ceramah,” soalnya.

Mohd Nassuruddin juga menyifatkan, sikap bekas Exco kerajaan negeri itu juga semakin pelik kerana kerap mempergunakan nama arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ceramahnya sebagai senjata mengkritik Pas.

Padanya, tindakan tersebut sebenarnya tidak sesekali melemahkan semangat perjuangan Pas, namun sebaliknya telah membuka mata rakyat untuk menilai individu yang selama ini menganggap dirinya sebagai anak didik setia Allahyarham mantan Menteri Besar Kelantan itu.

Jika begitu, Mohd Nassuruddin menganggap individu tersebut perlu rasa malu dengan semangat Nik Aziz yang terus istiqamah dengan Pas biarpun wujud pelbagai cabaran termasuk tertubuhnya parti baharu selama ini.

“Tok Guru tidak pernah mengkhianati perjuangan Islam. Tok Guru meninggal dunia semasa hayatnya ahli Pas. Ini belum mati dah ke parti lain,” katanya sinis.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: