#SENSASI ~ Rasuah penjawat awam bukti kerajaan gagal

Ahmad Fadhli.

KOTA BHARU – Peningkatan masalah rasuah dalam kalangan penjawat awam yang semakin serius memperlihatkan kerajaan Umno dan BN telah gagal untuk mendidik rakyat menjadi masyarakat berintegriti dan menghormati undang-undang.

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara tersebut kini bagaikan duri dalam daging apabila ia melibatkan penjawat awam sendiri, yang sepatutnya menjadi contoh kepada penjawat swasta dan sebagainya.

“Pemuda Pas memandang serius isu ini. Ia bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan seketika.

"Hakikatnya kes-kes rasuah yang semakin meningkat ini membuktikan bahawa tekanan hidup yang dialami oleh rakyat Malaysia semakin serius.

"Kerajaan perlu sedar perkara ini, kita perlu berfikir di luar kotak, apa punca dan faktornya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki mengenai peningkatan masalah rasuah melibatkan kakitangan awam yang semakin serius berbanding 10 tahun dahulu.

Malah berdasarkan statistik Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM, sepanjang tahun 2016 sehingga Februari 2017 sahaja sebanyak 665 Kertas Siasatan telah dibuka melibatkan penjawat awam di negara ini.

Ahmad Fadhli berkata, banyak faktor yang menyebabkan terjadinya masalah tersebut dan yang paling meruncing ialah kesan peningkatan harga barangan keperluan yang semakin tidak terkawal ekoran situasi ekonomi yang semakin merudum.

“Gaji yang diterima oleh penjawat awam tidak cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila berdepan dengan kenaikan harga barangan yang semakin meningkat.

“Selain itu, kesedaran agama juga memainkan peranan yang penting. Kerana itulah kerajaan negeri Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam memberikan penekanan yang serius terhadap penghayatan agama.

"Terbukti di Kelantan sepanjang 27 tahun ditadbir kerajaan kini tidak ada satu pun kes-kes rasuah yang melibatkan pimpinan tertinggi kerajaan negeri didakwa di mahkamah,”katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: