#HARGA MINYAK ~ Kerajaan kena kawal elakkan keadaan lebih buruk

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menetapkan harga siling kekal dan berpatutan bagi harga runcit bahan api di negara ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya tiada mekanisme kawalan dilaksanakan, beban kos sara hidup rakyat di negara ini akan bertambah dengan lebih cepat.

"Penetapan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan bermula 29 Mac lalu sudah mula memberi kesan terhadap pertambahan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna.

"Walaupun pengguna menikmati penjimatan sebanyak 17 sen (bagi RON95) pada minggu pertama, namun harga runcit bahan api itu telah meningkat sebanyak 11 sen hanya dalam tempoh 3 minggu sahaja; lebih cepat berbanding penetapan secara bulanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, subsidi juga sepatutnya diberikan kepada pengguna sekiranya minyak diniagakan melepasi paras harga siling.

"Mungkin kesan psikologi penetapan harga runcit bahan api secara mingguan ini boleh membantu mengurangkan rasa terbeban dalam kalangan pengguna, pun begitu jumlah kos sebenar bagi bahan api yang perlu ditanggung oleh pengguna tetap meningkat justeru mengurangkan jumlah pendapatan boleh guna seseorang pada setiap bulan.

"Pada masa harga minyak mentah dunia sedang meningkat naik disebabkan pelbagai faktor dan nilai Ringgit pula masih berada pada paras yang rendah, harga runcit bahan api di negara ini memang dijangka akan berterusan meningkat," katanya.

Harga runcit mingguan bagi petrol RON95 naik lapan sen kepada RM2.24 seliter manakala RON97 pula naik sembilan sen kepada RM2.52 seliter berkuat kuasa Rabu lalu hingga 19 April.

Harga diesel pula naik lapan sen kepada RM2.16 seliter.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: