#LIGA SUPER 2017 ~ Kemenangan Sulung Bantu Pulau Pinang Baiki Kedudukan Liga

MARAN – Kemenangan 1-0 yang dicatat oleh skuad Pulau Pinang ke atas Felda United amat diperlukan skuad itu bagi memperbaiki kedudukan pasukan itu pada saingan Liga Super musim ini.

Pengendalinya, Zainal Abidin Hassan berkata beliau berpuas hati kerana kesebelasan utamanya telah mempamerkan kesungguhan sepanjang 90 minit perlawanan untuk mencapai matlamat itu.

“Para pemain telah menunjukkan satu permainan yang baik apabila mereka berusaha bersungguh-sungguh seawal babak permainan hingga akhir.

“Hasilnya seperti yang kita dapat lihat, mereka akhirnya berjaya menjaringkan satu gol sekali gus meraih kemenangan bagi mengutip tiga mata.

“Kami sememangnya amat memerlukan mata bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super dan kejayaan ini begitu melegakan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Pulau Pinang yang telah mengharungi sembilan perlawanan kini masih menghuni tangga tercorot liga dengan mengutip lima mata.

Zainal Abidin berkata faktor sokongan penyokong juga memainkan peranan dalam menyuntik semangat kepada anak buahnya untuk beraksi tanpa mengenal erti mengalah.

“Mereka datang dari jauh semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan dan saya amat berterima kasih kerana ia banyak meningkatkan moral pemain ketika bermain di gelanggang lawan,” katanya.

Ketua jurulatih Felda United, B. Satianathan pula berkata beliau akur apabila skuad kendaliannya dihukum dengan kekalahan tersebut.

“Peluang yang diperolehi oleh Felda United untuk mencipta gol tidak digunakan sebaik-baiknya terutama pada awal minit permainan.

“Apa saya perhatikan kelemahan dari aspek mental pemain, teragak-agak atau 50-50 dalam perebutan bola selain keazaman Pulau Pinang lebih tinggi untuk mendapat kemenangan,” katanya.

Beliau berkata beberapa kelemahan itu perlu segera diatasi menjelang aksi menentang pasukan Tampines Rovers pada saingan Piala Konfedarasi Bolasepak Asia (AFC) 19 April ini di halaman sendiri. – BERNAMA



Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: