#MARUAH ~ Ambil tindakan kerana arah buka baju calon pramugari

Gambar hiasan. - Sumber foto Getty Images

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud meminta agar sebuah syarikat penerbangan ambil tindakan kerana arah calon pramugari buka baju semasa sesi temuduga terbuka mereka.

Menurutnya, perkara ini amat mengaibkan dan menghina kaum wanita khususnya mereka yang bercita-cita untuk menjadi seorang pramugari.

"Saya menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Sumber Manusia perlu mengambil tindakan segera dengan memberi amaran kepada pihak tersebut.

"Selain itu, menggantung lesen operasi syarikat itu sebagai satu pengajaran yang tegas," katanya dalam satu sidang media di bilik Media Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan syarikat penerbangan tersebut menyuruh wanita membuka baju mereka sebagai syarat semasa temuduga terbuka syarikat tersebut.

Alasan yang diberikan adalah untuk memeriksa bahagian badan wanita jika ada sebarang parut, tatu dan lain-lain.

Syarikat itu bagaimanapun mendakwa apa yang dilakukan itu adalah prosedur biasa dalam proses temuduga bagi jawatan itu namun perkara tersebut dinafikan oleh syarikat penerbangan lain dalam negara ini.

Tambahnya lagi, beliau juga mengharapkan agar wanita tidak menjatuhkan maruah mereka sewenang-wenangnya hanya kerana mendapat satu pekerjaan.

"Tidak perlu hilang maruah kerana pekerjaan dan wanita diharapkan tidak bertoleransi dengan perkara sebegini.

"Saya juga mengharapkan agar syarikat berkenaan menghentikan cara temuduga seperti ini yang jelas mengaibkan wanita," katanya lagi.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: