#FOREX ~ KPDNKK Tidak Pernah Beri Lesen Kepada Individu Atau Syarikat

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan tidak pernah memberi lesen kepada mana-mana syarikat atau individu untuk menjalankan perniagaan tukaran mata wang (forex), kata Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata ramai yang beranggapan bahawa kementerian berkenaan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen bagi skim pelaburan forex serta selalu menyalahkan kementerian apabila pelaburan yang dibuat gagal memperoleh duit yang dilabur.

Katanya segala perniagaan yang bersifatkan seperti 'money game', skim cepat kaya, forex, dan ponzi yang berselindung di sebalik perniagaan jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) tidak dibenarkan di negara ini di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP) 1993.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai pelaburan haram yang ditawarkan individu atau syarikat yang kononnya memberi keuntungan 20 peratus serta-merta.

Hamzah berkata pelabur boleh menghubungi KPDNKK untuk mengesahkan kesahihan pelaburan tersebut.

"Selagi tiada aduan mengenai pelaburan haram, KPDNKK tidak dapat berbuat apa-apa. Oleh itu, sebelum keluarkan duit itu, hubungi KPDNKK untuk pengesahan terakhir di talian 1800-886-800 atau Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Hamzah berkata Bank Negara telah menubuhkan jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bertujuan menyelaras aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA 2001).

Katanya kesalahan berkaitan skim pelaburan, skim kepentingan serta jualan langsung telah dimasukkan ke dalam jadual pertama AMLATFAPUAA 2001 sebagai kesalahan predikat (kesalahan berat) dan siasatan akan dibuka di bawah akta berkaitan dan AMLATFAPUAA 2001.

"Semua tindakan penguatkusaan melalui siasatan dan pendakwaan bagi skim pelaburan perlu dikoordinasikan dengan peruntukan dan kuasa di bawah AMLATFAPUAA kerana akta-akta yang dikawal selia oleh agensi-agensi lain tidak mempunyai kuasa yang luas," katanya.

Sejak 2007 sehingga 31 Mac lepas, sebanyak 55 kes berkaitan skim pelaburan tidak berdaftar telah diambil tindakan penguatkuasaan oleh SSM, katanya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 35 kes telah didakwa dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah, dua kes masih lagi dalam proses pendakwaan, satu kes (suspek gagal dikesan) dan selebihnya diambil tindakan kompaun, katanya.

"Kementerian memandang serius terhadap syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti skim piramid yang memperdaya pengguna selaras dengan Seksyen 27B (1) AJLSAP 1993. Sejak 2012, sebanyak 198 kes telah diambil tindakan dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM5.8 juta dan kompaun sebanyak RM960,500," katanya.

Sehingga 2 Mei, Hamzah berkata sebanyak 124 sesi ceramah berhubung aktiviti skim pelaburan haram diadakan di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang ramai bagi meningkatkan kesedaran dalam isu-isu penipuan dalam perniagaan. –Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: