#RENCANA ~ Bagaimana Sungai Petani mendapat nama?

Kepesatan Sungai Petani dengan kepadatan penduduk mencecah 500,000 orang menjadikan ia tumpuan pelabur hartanah mendirikan projek perumahan yang bernilai tinggi.

KEDUDUKAN Sungai Petani berada dalam daerah Kuala Muda, di bahagian tengah Kedah, merupakan negeri di utara Semenanjung Malaysia dan jaraknya kira-kira 50 kilometer dari ibu negeri, Alor Setar.

Difahamkan, Sungai Petani mula pesat membangun pada awal abad ke-20 dan sehingga kini masih mempunyai banyak tinggalan sejarah termasuk bangunan unik yang masih kukuh walaupun pembangunan rancak berkembang di sekitarnya.

Antara yang menjadi ikonik Sungai Petani ialah Menara Jam Besar yang menjadi mercu tanda pusat bandar dan juga bangunan Hongkong Shanghai Bank di mana kini menempatkan Bank HSBC dengan seni ukiran lama yang terletak di laluan utama tengah-tengah pusat bandar menjadikan ia mudah untuk ditemui.

Masih kekal utuh, bangunan Polis Diraja Malaysia yang dahulunya merupakan Balai Polis Sungai Petani namun kini menempatkan Pejabat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Binaan strukturnya yang unik dan menarik mengingatkan tentang seni bina lama bangunan yang sudah pasti memikat sesiapa sahaja yang melihatnya.

Asal usul nama

Pengumpul sejarah lisan, Rosini Hashim berkata, pada umumnya terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan bagaimana Sungai Petani mendapat namanya.

“Antara pendapat yang boleh dikaitkan ialah melalui aktiviti perdagangan khususnya kehadiran pedagang dari Pattani.

“Dalam masa sama, kegiatan perdagangan menggunakan pengangkutan laut melalui Sungai Merbok telah menarik lebih ramai pedagang untuk singgah dan membuka penempatan baru.

“Difahamkan, penempatan yang dibina mereka merangkumi kawasan pesisiran sungai yang sering menjadi laluan perdagangan,” katanya.

Diceritakan, penempatan yang pada mulanya hanya dihuni oleh beberapa pedagang sahaja menjadi persinggahan lebih ramai pengunjung seterusnya berminat menetap di situ, yang akhirnya telah berkembang di mana jumlah penduduk juga semakin bertambah.

Lama-kelamaan, perkampungan itu dikenali sebagai Sungai Pattani dan apabila dikaitkan dengan nama lokasi tersebut, disesuaikan pula dengan sebutan pada hari ini, maka ia terkenal sebagai Sungai Petani.

Namun, menurut Rosini, terdapat beberapa versi tentang wujudnya nama Sungai Petani, antara lainnya diambil daripada anak sungai yang mengalir dari sungai utama Sungai Badur atau dikenali sebagai Sungai Merbok sekarang.

“Versi lainnya pula ialah dikatakan berasal dari bahasa Sanskrit Perthini iaitu nama seorang wanita yang bermaksud wanita murni, wanita ini kemudian dikaitkan dengan kisah puteri kepada Raja Merong Mahawangsa,” katanya.

Sementara itu, Faizul Nasron, 36, berkata, banyak nama tempat di sekitar Sungai Petani mempunyai sejarah tersendiri yang boleh diterokai, unik, menarik dan menggambarkan penceritaan di sesuatu kawasan tersebut.

Antaranya Sungai Pasir, Sungai Layar, Sungai Jagung, Tikam Batu, Bujang, Semeling dan Merbok.

“Juga difahamkan dahulunya, Sungai Merbok merupakan laluan kapal dagang besar dan menjadi pusat perdagangan antarabangsa selain beberapa pusat pentadbiran yang dikatakan wujud membuktikan ia menjadi tumpuan tamadun awal manusia,” katanya.


Kepadatan penduduk cecah 500,000

Selain itu, Muhammad Abdul Hamid, 37, berkata, sektor perumahan mula berkembang pesat sejak tahun 1990-an sekali gus menunjukkan pertumbuhan ketara selain menjadi tumpuan pelabur hartanah berlumba-lumba membangunkan projek perumahan di bandar Sungai Petani.

“Dalam masa sama, kepadatan penduduk mencecah 500,000 di daerah Kuala Muda menjadikan pertumbuhan Sungai Petani cepat berkembang, termasuk pembinaan pusat perniagaan baru dan projek perumahan terancang.

“Bagaimanapun, banyak projek perumahan dibangunkan agak jauh sikit dari pusat bandar, kemungkinan tiada tapak atau kekosongan yang boleh diisi menjadikan penempatan yang baru dibuka dibangunkan di pinggir bandar,” katanya.

Muhammad mencadangkan agar pembinaan rumah pangsa boleh diperbanyakkan terutama di pusat bandar Sungai Petani bertujuan menampung keperluan penempatan penduduk yang semakin meningkat.

Selain kedudukan strategik bersempadan Kulim dan Pulau Pinang, Sungai Petani dilihat berpotensi menerima tempias pertumbuhan ekonomi dan kepesatan di kedua-dua bandar.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: