#GENIUS ~ Pelajar 11 Tahun Lulus Subjek Sukar Universiti

BANGKOK – Ketika rakan sebayanya sibuk bermain permainan video, seorang budak perempuan berusia 11 tahun sibuk belajar di sebuah universiti terbuka.

Open Universiti Sukhothai Thammathirat (STOU) mengumumkan pelajar itu, Supanida Apaiwong berjaya lulus dalam dua subjek iaitu undang-undang awam dan pengenalan pengurusan pada semester ini.

Bangkok Post melaporkan, pelajar Sekolah Rattana Suksa di daerah Thung Song di wilayah Nakhon Si Thammarat itu sudah mengambil enam subjek dengan mengumpul 36 kredit.

“Apa yang anda baca adalah benar. Gadis ini bersekolah di Tahun 5,” kata STOU di laman Facebook rasminya.

Kejayaan Supanida itu mendapat pujian daripada beratus-ratus pengguna media sosial yang menganggapnya sebagai luar biasa.

“Lulus subjek undang-undang awam bukannya mudah bagi sesiapa yang mengambil jurusan undang-undang,” kata seorang pengguna Facebook.

Seorang lagi pengguna berkata: “Dia memberi inspirasi kepada saya. Sekiranya dia boleh, saya juga boleh lakukannya.”

Menurut STOU, Supanida mengambil jurusan praijazah yang ditawarkan universiti itu sejak dia berusia sembilan tahun lagi.

Program itu membolehkan pelajar daripada semua peringkat usia mengambil subjek universiti dan mereka boleh memindahkan kredit sekiranya mahu melengkapkan ijazah sarjana muda. – Agensi/myMetro Online



Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: