#ANALISIS ISU ~ 'Anak Iskandar Kutty’ tetap jadi sanjungan

PEMIMPIN politik adalah orang yang dihormati dalam masyarakat. Segala kata, tingkah laku dan sifatnya sentiasa menjadi perhatian ramai. Tersilap langkah atau terlepas cakap, padah akibatnya.

Inilah apa yang terjadi ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengungkit asal usul bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.

Ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat Umno Bahagian Kelana Jaya, Naib Presiden Umno itu memberitahu hadirin Mahathir adalah berketurunan India sambil mendakwa pengerusi Pakatan Harapan itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun semasa pentadbirannya.

“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty.” Itu kata Ahmad Zahid yang bermaksud Mahathir adalah anak lelaki keturunan India yang menuduh Melayu mudah lupa. Nama Kutty ialah satu nama dalam bahasa Tamil.

Dengan kata lain, Mahathir didakwa bukan Melayu tetapi mempergunakan orang Melayu ketika menjadi perdana menteri, satu kenyataan yang amat bersifat perkauman!

Ketika berucap di atas pentas, Ahmad Zahid turut menunjukkan salinan dan membaca nombor kad pengenalan Mahathir yang disimpan dalam telefon bimbitnya lalu menyebut namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Sedutan ucapan dan rakaman video Ahamd Zahid itu kemudian menjadi tular dan menerima kritikan ramai hanya dalam tempoh beberapa jam di laman sosial.

Hampir keseluruhan komen dan pendapat menyalahkan timbalan perdana menteri kerana beliau tidak sepatutnya mengungkit keturunan Mahathir walaupun sudah tinggalkan Umno dan sertai Pakatan Harapan.

Tidak kurang juga yang menuduh Ahmad Zahid kerana membuat serangan peribadi ke atas Mahathir.

Ahmad Zahid juga dituduh walaupun sebagai timbalan perdana menteri, beliau tidak patut memperlekehkan seorang negarawan yang sudah banyak berjasa kepada bangsa dan negara.

Tidak dinafikan Mahathir telah bermusuh dengan parti lamanya, Umno. Ramai pemimpin dan ahli Umno sehingga hari ini masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa bekas presiden yang mereka sanjung selama ini telah berada dalam pakatan pembangkang.

Tetapi perlukah Mahathir dikecam begitu hebat sampai asal-usulnya pun dijadikan bahan politik? Kenapa begitu terdesak seorang timbalan perdana menteri boleh menggunakan isu keturunan sebagai alat untuk mengkritik lawan?

Tanpa perlu Ahmad Zahid mendedahkan kepada umum, barang kali hampir seluruh rakyat jelata sudah pun sedia maklum bahawa asal-usul Mahathir bukan daripada keluarga Melayu tulen. Jadi apa motif beliau sebenarnya?

Apa silapnya Mahathir adalah keturunan India? Beliau telah merancang banyak projek demi kesejahteraan rakyat.

Walaupun beliau didakwa bukan dilahirkan dalam keluarga Melayu tulen, tetapi terbukti sepanjang memimpin Umno dan negara, masa depan Melayu sentiasa menjadi keutamaannya.

Kemarahan Ahmad Zahid belum setakat itu sahaja. Kata Ahmad Zahid lagi: “Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang.”

Umno hanya akan menjadi sepah sekiranya orang Melayu membuangnya pada PRU akan datang.

Sebagai timbalan presiden Umno, Ahmad Zahid sepatutnya lebih bimbang bagaimana mahu terus membela nasib dan masa depan orang Melayu.

Pendedahan Ahmad Zahid mengenai asal-usul Mahathir ini bagaikan memberi modal kepada pembangkang. Isu inilah secara tiba-tiba memberikan kelebihan kepada Mahathir dan Pakatan Harapan yang tidak semena-mena meraih undi simpati pada PRU akan datang.

Umno perlu sedar Mahathir semakin hari semakin tua. Tetapi selagi beliau dikritik dan dikeji, selagi itulah rakyat akan terus menyokongnya.

Rakyat tidak kira tua atau pun muda akan tetap terus mengingati beliau sebagai perdana menteri yang paling berjaya dalam sejarah Malaysia.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: