#DEMI MARUAH ~ Hina Logo KFA, Kelab Penyokong Lapor Polis

ALOR SETAR – Gabungan G9 Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap logo persatuan itu melalui satu video yang dimuat naik oleh laman sosial Facebook ‘Pahang Is Dead’, baru-baru ini.

Wakil kelab berkenaan, Mohd Amirul Ashraf Abu Mansor berkata,video berkenaan yang disedarinya tular di laman sosial kira-kira jam 1 pagi semalam, cukup mengguris hati dan membuatkan rata-rata penyokong Lang Merah merasa terhina.

“Kami memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan logo KFA yang merupakan identiti pasukan bola sepak Kedah, jadi kami akan turut membawa perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Video berkenaan yang berdurasi 40 saat memaparkan seorang lelaki yang mengenakan topeng burung helang dan memakai jersi pasukan Kedah menuju ke arah tandas yang mempunyai tulisan ‘Lembah Hina’.

Individu berkenaan kemudiannya bertindak mencium logo KFA pada jersi yang dipakainya sebelum bertindak mengoyakkannya dan membuang ke dalam mangkuk tandas.

Mohd Amirul, yang juga Setiausaha Kehormat Red Eagle Frenz Kedah (REFK), berkata, walaupun video itu sudah dipadam oleh pemilik laman berkenaan, namun ia masih dikongsi oleh beberapa laman penyokong di Facebook.

Beliau berkata pihaknya mahu SKMM menyiasat siapa sebenarnya pemilik akaun Facebook berkenaan yang sebelum ini turut banyak menghina penyokong dan pemain pasukan Kedah melalui kiriman yang bersifat provokasi.

Antara kelab di bawah Gabungan G9 KFA ialah Kelab Bola Sepak Darul Aman (KEPAK) , Peminat Bola Sepak Kedah (PBK), Red Eagle Frenz Kedah (REFK), Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Hijau Kuning FC Kedah (HKFC Kedah), Arena Hijau Kuning (AHK) , Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK), Kenari Fans Squad (KFS) dan Penyokong Setia Anak Rantau (PSAR). -BERNAMA

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment