#ISU PANAS ~ 'Khalwat' di PAU: Harakahdaily turunkan berita kerana 'dakwaan peribadi'

Portal rasmi PAS Harakahdaily mengesahkan ia menarik balik berita mengenai dakwaan bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Klang Wan Ashima Kamaruddin bahawa berlakunya kegiatan maksiat setiap kali berlangsung Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Timbalan Ketua Pengarang Harakahdaily Azmi Yusof berkata, berita itu ditarik balik kerana terlepas pandang serta dakwaan itu datangnya dari Ashima dan bukannya PAS.

“Harakahdaily 'remove' berita itu kerana ia adalah bersifat dakwaan peribadi Wan Ashima bukan dakwaan dari PAS sedangkan Harakahdaily adalah lidah rasmi parti.

ARTIKEL BERKAITAN: #SENSASI PANAS ~ Pesta khalwat berleluasa di Perhimpunan Agung UMNO ?

“Awalnya ia termuat naik kerana ada sedikit terlepas pandang teknikal dalam pemilihan berita, jadi bila sidang redaksi menyedarinya, maka Harakahdaily tarik balik laporan tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Azmi turut berkata pihaknya tidak akan membuat permohonan maaf kepada Umno berhubung perkara itu.

Dalam laporan yang disiarkan dalam Harakahdaily sehari sebelum PAU 2017, Wan Ashima mendakwa banyak pasangan bukan muhrim berkhalwat ketika perhimpunan parti itu berlangsung.

Menurut Wan Ashima, ini berdasarkan pengetahuan beliau selama 17 tahun bersama Umno.

Bagaimanapun semalam Harakahdaily menurunkan berita tersebut.

Dalam laporan itu, Wan Ashima mencabar pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat operasi besar-besaran bagi menangkap pasangan khalwat.

"Berapa ramai pasangan yang berkhalwat, berapa ramai pasangan bukan Islam bersama dengan orang Islam.

"Dekat situ kita tengok, berapa ramai pasangan isteri orang, suami orang bersama dalam satu bilik," Ashima dipetik berkata oleh Harakahdaily.

Susulan itu Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan tuduhan tersebut sambil menyifatkannya sebagai fitnah besar.

“Fitnah besar yang perlu didatangkan bukti. Prinsip Islam sesiapa yang membuat tuduhan dan dakwaan mesti membawa bukti.

“Kalau tidak, dia yang patut dihukum kerana memfitnah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PAU 2017 bermula hari ini sehingga 9 Disember 2017 ini di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC).[MKini]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Catat Ulasan