#SKANDAL HARTANAH ~ FELDA Terpalit Lagi,Kini Di Jalan Semarak KL

Felda terpalit lagi dengan skandal hartanah di Jalan Semarak


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Memetik laporan Berita Harian (BH) hari ini, akhbar arus perdana itu mendakwa, daripada tinjauan dilakukan mendapati, Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Carian dalam portal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati Menara KLVC Tower1A sudah diluluskan untuk dimajukan dengan bangunan pejabat 68 tingkat meliputi 59 tingkat pejabat, dua tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.

BH turut memetik sumber tidak dinamakan, mendakwa, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Cor-poration Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga 2017.

Menurut sumber dipetik itu lagi, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit, dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk kelulusan secara retrospektif.

“Ia agak mengelirukan dari segi urus tadbir kerana Lembaga Pengarah FELDA tak tahu siapa sebenarnya buat keputusan, sama ada FIC atau Felda kerana ketika itu ada orang yang sama duduk dalam FIC dan dalam Felda.

“Felda keluarkan surat kuasa wakil kepada syarikat pemaju untuk bangunkan kawasan terbabit, namun tanah berkenaan kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015,” katanya.

Carian BH di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga mendapati satu daripada tanah iaitu lot 390 seluas 16 hektar yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama projek itu pada 21 Julai 2016.

Difahamkan, sehingga kini tiada pengumuman dikeluarkan Felda berhubung pemindahan hak milik tanah itu atau transaksi pengambilalihan tanah antara Felda dengan pemilik baharu tanah itu.

BH turut bertemu pemaju itu di pejabatnya untuk mendapatkan penjelasan lanjut, tetapi seorang pengarah syarikat terbabit enggan memberi sebarang komen.

Mengikut laporan media pada 14 Mei 2014, kawasan itu mulanya dirancang dimajukan sebagai projek pembangunan bercampur komersial dan kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM500 juta oleh anak syarikat FIC, iaitu ENCORP Bhd.

Namun, pada 6 November 2014, DBKL menerima permohonan kebenaran merancang kawasan sama daripada pemaju utama KLVC dan bukan ENCORP.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati kontraktor utama projek KLVC adalah sebuah syarikat baharu yang hanya ditubuhkan Januari lalu.

Sumber-Malaysia Dateline


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Catat Ulasan