#KOS SARA HIDUP ~ Cuepacs gesa kenaikan gaji dalam masa terdekat

Azih (duduk, tengah) ketika sidang media di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

KOTA BHARU - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan gaji kakitangan awam dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya awal tahun ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, perkara tersebut sangat wajar dinilai oleh kerajaan memandangkan kakitangan awam kini dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang sangat tinggi dan juga keperluan memiliki rumah.

Menurutnya, berdasar kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati gaji penjawat awam sebenarnya sudah tidak mampu lagi untuk menampung kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat.

“Apa lagi ditambah pula dengan kos pembelian harga rumah, yang mana kita tidak boleh anggap ia sebagai satu perkara sampingan kerana setiap orang yang mahu memulakan kehidupan mereka mesti ada rumah.

“Cuepacs cuma meminta perhatian kerajaan supaya pertimbangan cadangan dan tuntutan kita, antara yang amat ditunggu pada masa ini ialah, pemberian kerajaan berkaitan dengan satu kenaikan gaji,” katanya kepada media sebentar tadi.

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat Transformasi Perkhidmatan Awam: Isu dan Cabaran Penjawat Awam melibatkan lebih 300 kakitangan awam Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin, Pengerusi Cuepacs Kelantan, Aminuddin Awang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam, Datuk Zamri Ismail.

Dalam pada itu, mengulangi kenyataannya beliau sebelum ini, Azih berkata, disebabkan kekangan kehidupan dihadapi kini, kakitangan di negara ini boleh menjadi miskin sekiranya mereka membeli rumah.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment