#PENDAPAT ~ Pembangkang paling kecewa jika Umno menang PRU14 - Nik Abduh

SHAH ALAM - Pas adalah ganti Umno-BN untuk Malaysia, ia matlamat utama Pas memasuki PRU14 nanti, demikian menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Ujarnya, ini dibuktikan dengan keazaman Pas untuk bertanding 40 Kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum berkenaan.

"Sasaran memenangi minima 40 kerusi Parlimen adalah sebuah gerakan besar untuk pengislahan negara daripada Pas.

"Ia adalah realistik bagi Pas daripada terus berilusi dengan penawar seribu bencana ciptaan seorang doktor veteran gagal yang terus angkuh dengan taubat demi taubatnya yang bohong dan palsu," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi Facebooknya.

Katanya, sasaran minima 40 kerusi ini adalah kekuatan bagi Pas dan kelemahan yang ketara bagi Umno.

"Kemenangan lebih besar untuk Pas pasti akan menjelma. Ia akan menjelma sebaik Pas terus kukuh dengan thabat dan istiqamahnya memperjuangkan Islam dan nilai-nilainya yang tinggi dalam menjamin tadbir urus negara yang penuh integriti, sejahtera dan cemerlang," katanya.

Dalam pada itu katanya, Pakatan Harapan akan kecewa teruk bersama penyokongnya jika Umno terus memenangi PRU14.

"Hanya itu sasaran mereka. Gagal bererti gelap selamanya. Kerja selepas itu adalah menanti PRU15 pula.

"Tetapi Pas sebaliknya. Pas melihat negara dan politiknya dengan mata hatinya yang lebih jelas dan benar," katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment