#PRU 14 ~ Amanah tidak mampu ganti Pas berpandukan peruntukan kerusi - MAPAN

27 kerusi yang diperuntukkan kepada Amanah tidak cukup menggambarkan hasrat asal penubuhan parti, apalagi mahu mencabar Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff (gambar) berkata, objektif Amanah adalah untuk menggantikan tempat dalam Pas di dalam Pakatan Harapan, tetapi pengagihan kerusi itu tidak menggambarkan hasrat tersebut.

“Dalam PRU lalu, 65 kerusi parlimen yang ditandingi, hanya 25 kerusi yang diberikan kepada Amanah, manakala 35 kerusi lagi kepada Bersatu, empat PKR dan 1 DAP.

“Dakwaan Amanah pengganti Pas diragui pelbagai pihak kerana pengganti Pas tidak sepatutnya diberikan tidak sampai separuh kerusi,” katanya.

Kamarul Zaman mengulas pengumuman Muafakat Pakatan Harapan 8 Januari lalu yang menyaksikan Amanah mendapat kerusi tercorot berbanding parti-parti lain dalam Harapan.

Kata penganalisis politik itu, Bersatu sebagai sebuah parti terbaru tidak sepatutnya cuba menjadi abang besar dalam Harapan, apatah lagi dengan segala permasalahan yang dihadapinya dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung penubuhannya.

“Tindakan Bersatu mengambil kedua-dua kerusi Pas di Wilayah Persekutuan dan di Perlis untuknya sehingga Amanah langsung tidak dapat bertanding di situ menunjukkan ketamakan Bersatu, namun peliknya pemimpin Amanah sendiri boleh bersetuju dengan hal ini.

“Semua ini menunjukkan para pemimpin Amanah tidak tegas di dalam mempertahankan kepentingan parti mereka menyebabkan mereka diperbudak-budakkan oleh parti-parti lain sekali gus menyebabkan masa depan Amanah dijangka sangat suram.

“Saya boleh memahami bila pemimpin bawahan Amanah berduka dan kecewa atas layanan teruk yang mereka terima ini, malah di Wilayah Persekutuan sampai ada yang dilaporkan menangis, kerana ia berkait dengan masa depan Amanah.

“Presiden Amanah, Mohamad Sabu, boleh sahaja menyatakan bahawa Amanah akan memenangi kesemua 27 kerusi yang diberi kepada mereka demi memujuk para penyokong, tetapi realitinya sangat mustahil mereka menang kesemuanya.

“Layanan teruk terhadap Amanah dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini sepatutnya mampu menyedarkan sebahagian pendokongnya betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui Harapan.

“Jika kita lihat di negeri sasaran Amanah seperti Kelantan sekalipun, Amanah hanya diberi lima daripada 14 kerusi Parlimen, sedangkan ramai yang tahu Bersatu yang membolot kerusi tidak mempunyai pemimpin dan jentera yang kuat pun di negeri itu.

“Perlu diingat, jika masa depan Amanah dilihat berada di awang-awangan, masa depan Harapan juga akan terjejas sama kerana sudah tentu penyokong Amanah tidak akan beri komitmen penuh kepada rakan-rakan mereka,” katanya.[SH]


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: