#PRU 14 ~ Rakyat muak dan keliru dengan kerajaan, pembangkang

Pengerusi Hisbah Centre for Reform (Hisbah), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan wujud fenomena luar biasa sedang berlaku menjelang PRU14.

Katanya, ia adalah suasana di mana rakyat dan pengundi semakin tidak bermaya untuk berdepan dengan pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Rata-rata daripada mereka suarakan rasa muak dengan politik hari ini. Mereka kecewa dan menyampah bukan sahaja dengan pihak sebelah sini atau sana tetapi dengan kedua-duanya.

“Ini bukan fenomena biasa. Biasanya pengundi dan rakyat akan menyokong atau tidak. Menyokong salah satu daripada dua pihak. Kali ini kelihatan mereka tidak menyokong kedua-duanya seolah-olah keliru dan ini bahaya buat negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut disebabkan oleh krisis keyakinan terhadap kepimpinan negara pada hari ini.

“Tetapi dalam yang sama rakyat juga masih belum dapat mengalihkan atau menggantikan keyakinan itu kepada pihak lain. Kita tersimpul dalam satu kekusutan politik dan ia mesti dileraikan.

“Politik adalah soal keyakinan terhadap satu kepimpinan. Soalnya sekarang, tidak ada satu pun kepimpinan yang diyakini oleh rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memang sudah hilang kepercayaan rakyat dengan pelbagai isu melingkarinya dan tiada jalan untuk beliau meraih sokongan dan keyakinan lagi,” katanya.

Menyentuh soal pembangkang, Mohamad Ezam berkata, mereka masih terkial-kial meraih keyakinan rakyat untuk menyokong mereka.

“Inilah kekusutannya kerana pembangkang juga tidak diyakini. Cuma mereka belum lagi di hujung jalan seperti Najib dan pasukannya. Pembangkang masih boleh merai keyakinan rakyat dengan syarat mereka perlu jujur meleraikan kekusutan ini.

“Apabila saat memilih semakin hampir, perkara pokok bagi pengundi ialah keyakinan kepada pentadbiran baru. Bukan lagi soal keburukan pentadbiran sedia ada. Soalnya ialah apa kebaikan dan keupayaan pentadbiran baru itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks politik negara ini, rakyat mahu tahu individu mana yang akan memimpin pentadbiran baharu dan ia penting bagi meraih keyakinan rakyat.

“Pakatan Harapan (Harapan) dilihat masih kusut dalam soal ini. Sosok yang memimpin tidak jelas, malah masih berkisar kepada tokoh-tokoh lama. Benar mereka adalah sosok hebat, berjasa dan teruji tetapi dalam masa sama mereka membawa bersama cerita dan kisah lalu. Di sinilah kekusutannya dan inilah yang perlu dileraikan.

“Agenda pembaharuan perlu dilihat, dibawa dan dijulang oleh muka-muka baharu dan muda Harapan kerana punyai ramai pemimpin muda yang mampu menjulang perubahan. Mereka siap sedia menjadi panglima perang dan mengurus kejayaan,” katanya.

Tambahnya, tokoh-tokoh besar pembangkang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah wajar memberi laluan kepada pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, Nurul Izzah Anwar dan Salahuddin Ayub.

“Tokoh-tokoh besar kekal aktif di dalam perjuangan dan negara masih memerlukan kepakaran serta pengalaman mereka.

“Mereka perlu memberi kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda mengepalai perjuangan Harapan yang berani berubah. Ini penting dalam memberi mesej jelas kepada golongan muda negara yang mahukan perubahan bahawa Harapan benar-benar satu gagasan perubahan,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment