#RENCANA ~ Dilema sekolah agama rakyat

OLEH: DR ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH

DALAM konvokesyen Gerakan Ummah yang diadakan dua minggu lepas, terdapat desakan daripada NGO-NGO Melayu supaya sekolah agama rakyat (SAR) diberikan bantuan. Desakan ini selaras dengan Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

Situasi ini berlainan pula dengan sekolah jenis kebangsaan. Masih terdapat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor menerima kemasukan murid bukan Cina lebih ramai daripada murid Cina.

Dikatakan separuh daripada pengambilan kemasukan murid darjah 1 adalah 50 peratus bukan berketurunan Cina. Malah jumlah keseluruhan murid di SJKC tersebut mengandungi 43 peratus bukan berketurunan Cina.

Ini merupakan trend pada masa kini, lebih ramai murid bukan berketurunan Cina iaitu sembilan peratus Bumiputra masuk ke SJKC pada 2016 disebabkan faktor tertentu. Jika dilihat pada data 2016, kemasukan murid Cina ke sekolah aliran kebangsaan hanya tiga peratus.

Apakah permasalahan yang menyebabkan kemasukan murid Cina begitu rendah ke sekolah aliran kebangsaan. Berbagai pertanyaan timbul ekoran permasalahan ini. Boleh dikatakan hari ini, sebahagian SJKC sudah mengikuti silibus sama dengan sekolah kebangsaan. Maka soal kualiti dan perbezaan silibus pendidikan sekolah tidak boleh dipertikaikan setelah perlaksanaan Akta Pendidikan 1976.

Data menunjukkan kemasukan ke SJKC pada tahun 2000 seramai 623,000 murid diikuti pada 2016 seramai 543,000 dan 2018 seramai 525,000. Data-data ini turut menunjukkan penurunan bilangan murid Cina untuk masuk ke aliran pengajian sekolah rasmi.

Terdapat data menunjukkan sebilangan murid Cina masuk ke sekolah antarabangsa atau persekolahan di rumah. Ini amat mengejutkan kerana terdapat penyisihan murid Cina daripada aliran sekolah rasmi. Sedangkan terdapat penambahan 10 SJKC baharu dan pemindahan 6 SJKC dalam Bajet 2018.

Sepatutnya penambahan sekolah Cina mestilah dibuat mengikut peningkatan jumlah penduduk berketurunan Cina. Ini menunjukkan kerajaan mengamalkan politik matang dengan mengambil kira isu pendidikan sekolah Cina.

Di Sabah pula, peruntukan untuk SJKC sentiasa ditambah melalui bajet negeri Sabah sejak 2010. Tetapi masih ada sekolah kebangsaan yang daif di Sabah belum menerima apa-apa bantuan, sama ada daripada Kerajaan Negeri Sabah mahupun Kerajaan Pusat.

Yang menjadi persoalan apabila terdapat SJKC dibina di kawasan bukan majoriti Cina. Malah, peruntukan bajet untuk SAR seperti madrasah dan sekolah tahfiz tidak ada.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, peruntukan dan pembinaan sekolah vernakular adalah ihsan kerajaan, bukannya kewajipan. Tetapi daripada PRU12 dan PRU13 menunjukkan komuniti Cina kurang menyokong kerajaan pusat yang dipimpin BN, khususnya Umno.

Keyakinan Umno ke atas komuniti Cina sangat tinggi tetapi sebaliknya yang berlaku ke atas komuniti Cina. Daripada jumlah peruntukan Bajet 2018, sebanyak RM250 juta untuk sekolah kebangsaan dan RM50 juta kepada SJKC; RM50 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); Sekolah Mubaligh (RM50 juta); Sekolah Berasrama Penuh (SBP) (RM50 juta); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM50 juta) dan Maktab Sains Rendah Mara (RM50 juta). Melihat kepada peruntukan ini, di manakah letaknya kewajipan yang utama diperuntukkan oleh perlembagaan ke atas SAR?

Adakah sekolah Cina diutamakan kerana penguasaan bahasa Mandarin mampu memberikan pekerjaan? Bagaimana pula dengan isu pembangunan modal insan? Sebahagian rakyat hari ini mempercayai bahawa pengangguran yang berlaku di negara ini bukan disebabkan isu bahasa.

Adakah dengan menguasai bahasa tersebut dapat menjamin seseorang itu tidak pecah amanah dan mengkhianati organisasi tempat dia kerja? Bukankah pembangunan modal insan amat penting dalam menyelesaikan permasalahan integriti dan rasuah?

Salah satu faktor utama dalam pembangunan modal insan adalah mendidik hubungan jiwa manusia dengan Tuhan dan membezakan yang mana baik dan buruk. Bukankah SAR dapat membantu pembangunan modal insan.

Serangan ke atas golongan agamawan dan sekolah agama yang dikaitkan dengan persepsi negatif sebenarnya memburukkan imej SAR. Tanggungjawab pembinaan insan dengan didikan agama turut perlu dikongsi dengan sekolah kebangsaan.

Ini disebabkan pembinaan modal insan dapat menangani permasalahan rasuah dan penyelewengan yang berlaku di kedua-dua sektor awam dan swasta.

Umno perlu membaiki persepsi negatif rasuah dalam kalangan masyarakat hari ini. Ini disebabkan 78 peratus komuniti Bumiputra yang menyokongnya dalam PRU13 semakin berani mempersoalkan keintegritian dan akhlak pemimpin-pemimpin kerajaan dalam media sosial.

Andai kata tidak berjaya menangani persepsi ini akan menyebabkan masalah. Mahu tidak mahu soal peruntukan bajet kepada apa-apa aliran sekolah perlu difikirkan semula.

Ini disebabkan masih terdapat kemudahan awam sekolah kebangsaan yang agak tidak terjaga berbanding SJKC. Beringatlah kelangsungan kehidupan tanpa rasuah pada masa depan lebih penting. Bukannya kemahiran bahasa yang menentukan keintegritian kerjaya seseorang.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

-SH-

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment