#RENCANA ~ Leftenan Adnan: Bukit Chandu Saksi Keperwiraan

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles
PERMATANG Pasir Panjang di Singapura masih lagi seperti dulu – sunyi dan suram. Adakalanya suasana sekitarnya kelihatan menyeramkan memandangkan ramai tentera pernah terkorban tanpa nisan di kawasan itu suatu waktu dahulu.

Kira-kira 60 tahun lalu, permatang yang memanjang sejauh lebih lima kilometer ini pernah menjadi medan pertempuran antara Rejimen Askar Melayu dan tentera Jepun.

Malah Bukit Chandu yang terletak di atas permatang ini turut menjadi saksi keperwiraan anak-anak Melayu mempertahankan tanah air mereka.

Di sinilah Allahyarham Leftenan Datuk Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun serta 42 anggota Platun 7, Kompeni C, Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu berjuang hingga ke titisan darah terakhir mempertahankan ibu pertiwi dengan penuh keberanian.

Mengikut catatan sejarah, pertempuran antara Rejimen Askar Melayu dengan tentera Jepun bermula sebaik sahaja musuh mendarat di Tanjung Penjuru, Jurong pada 8 Februari 1942.

Pada masa itu Batalion Pertama dan Kedua dikerah mengekang kemaraan musuh di situ.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berundur ke Pasir Laba dan akhirnya ke Pasir Panjang berikutan serangan hebat tentera Jepun.

Pertempuran sengit antara kedua belah pihak hanya bermula pada 13 Februari apabila Askar Melayu mengukuhkan pertahanan mereka di benteng terakhir tersebut.

Untuk memudahkan mereka menawan kawasan berkenaan, Jepun memulakan serangan dengan tembakan artileri diikuti penggempuran oleh unit infantrinya.

Serangan itu dilakukan oleh Divisyen Mutagichi ke-18 dengan bantuan kereta kebal dan pesawat udara.

Akibat asakan tersebut, Askar Melayu terpaksa berundur sekali lagi untuk mencari tempat pertahanan baru yang lebih selamat.

Lebih-lebih lagi kebakaran depot simpanan minyak di Kem Normanton tidak jauh dari situ, memburukkan lagi keadaan medan perang tersebut.

Pada tengah malam itu pula, Kompeni C diarahkan berundur ke pertahanan sebelah timur Pasir Panjang yang dikenali sebagai Bukit Chandu.

Di situ, Kapten Rix yang mengetuai kompeni tersebut telah mengarahkan platun Adnan yang dipercayai mempunyai kekuatan 42 anggota mengawal arah utara.


Serangan Ganas

Esoknya, pada hari Sabtu tanggal 14 Februari, serangan tentera Jepun bermula pada pukul 2 petang di Kampung Buona Vista dengan menjadikan 4 kedudukan Kompeni B Batalion Pertama sebagai sasaran awal.

Serangan bertalu-talu dengan bantuan kereta kebal menyebabkan Askar Melayu semakin tertekan.

Belum pun sempat mereka berundur, tentera Jepun menyerbu kawasan tersebut mengakibatkan berlaku pertempuran secara dekat antara keduadua belah pihak.

Perajurit Askar Melayu yang telah kehabisan peluru terpaksa berjuang dengan menggunakan benet di hujung senjata tanpa rasa gentar sehingga ke titisan darah terakhir.

Selepas berjaya menawan kampung tersebut, Jepun yang marah dengan Askar Melayu kerana keberanian mereka bertempur telah menjadikan pula Bukit Chandu yang dipertahankan oleh Kompeni C yang turut disertai oleh platun Adnan sebagai sasaran serangan seterusnya.

Adnan yang berlumuran darah serta semakin lemah itu pula diikat dan dimasukkan ke dalam guni. Selepas itu beliau digantung pada sebatang pokok ceri dengan kepalanya ke bawah. Beliau menemui ajal di situ selepas ditikam bertubi-tubi dengan benet oleh Jepun.

Kompeni tersebut terpisah dengan kompeni D di sebelahnya oleh sebuah parit yang dipenuhi minyak terbakar yang mengalir dari Kem Normanton.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyulitkan mereka untuk berundur ke selatan jika terdesak.

Ekoran itu Adnan telah mengingatkan anak-anak buahnya agar mempertahankan sahaja Bukit Chandu selagi nyawa di kandung badan.

Waktu itu, mereka bertahan di tepi lereng sebuah bukit yang sederhana curam dengan dilindungi kubu yang diperbuat daripada guni pasir. Adnan pula memilih berkubu berhampiran sebatang pokok ceri.

Selepas dihujani tembakan artileri, Askar Melayu ternampak sekumpulan lelaki seperti tentera Punjab menghampiri pertahanan mereka.

Bagaimanapun, pergerakan lelaki-lelaki tersebut agak mencurigakan kerana pada kebiasaannya, tentera British termasuk tentera Punjab akan berjalan dalam tiga barisan tetapi kumpulan tersebut pula bergerak dalam empat barisan.

Mengingatkan itu, Adnan syak mereka bukanlah daripada pasukan sahabat tetapi musuh yang menyamar.

Untuk memastikan mereka dapat membunuh seramai mungkin tentera Jepun, platunnya membiarkan musuh yang menyamar itu menghampiri mereka serapat mungkin.

Apabila musuh berada dalam kawasan membunuh yang ditetapkan, mereka lantas melepaskan tembakan.

Serangan mengejut itu menyebabkan musuh lari lintang pukang menyelamatkan diri. Akibat serangan itu juga, seramai 22 tentera Jepun terbunuh dan ramai dilaporkan cedera.


Membalas Dendam

Kegagalan muslihat serta padah yang menimpa pasukan mereka menyebabkan pegawai Jepun menjadi bertambah berang dan mahu membalas dendam dengan segera. Justeru mereka menghantar pasukan yang lebih kuat untuk menggempur Bukit Chandu.

Kolonel Saburo yang bertanggungjawab dalam operasi tersebut telah mengarahkan Mejar Kimura menawan bukit tersebut dengan apa cara sekali pun sambil memintanya membunuh semua anggota Askar Melayu yang ditemui terutama Adnan.

Kali ini Jepun tidak lagi membuat helah sebaliknya melakukan serangan gelombang manusia yang menjadi taktik kebiasaan mereka di medan perang.

Melihat kehadiran musuh yang terlalu ramai, Adnan dan anggotanya terus melepaskan tembakan menggunakan mesingan, raifal, pistol dan bom tangan. Beliau turut melaungkan kata-kata perangsang agar anggotanya terus bersemangat.

Dalam pertempuran itu, mereka dapat membunuh beberapa orang tentera Jepun, namun musuh tetap mara merapati benteng pertahanan mereka.

Walaupun masih mampu membalas tembakan musuh, namun Adnan sedar pasukannya tidak mungkin dapat mempertahankan Bukit Chandu dengan lebih lama. Apatah lagi dengan beberapa anggotanya telah gugur dan cedera. Beliau sendiri turut cedera.

Tidak lama kemudiannya, Jepun berjaya mengepung mereka dan terus menyerbu dengan benet terhunus di hujung senjata ke kubu Askar Melayu. Berlakulah pertarungan antara kedua-dua belah pihak.

Adnan yang ketika itu telah cedera parah bagaimanapun tewas dalam pertarungan terakhir tersebut.

Tentera Jepun yang sejak dari awal lagi sememangnya mendendami Adnan dan anggotanya terus bertindak kejam ke atas Askar Melayu.

Mereka menikam dan merodok mana-mana Askar Melayu yang ditemui  tidak kira masih hidup atau mati. Tidak puas dengan itu, beberapa mayat serta anggota Askar Melayu yang cedera kemudiannya diikat dan digantung di atas pokok berhampiran.

Kebanyakannya dengan kaki di atas dan tangan terikat. Selepas itu, kesemua mayat dan perajurit yang masih bernyawa tersebut ditikam bertubi-tubi dengan benet.

Adnan yang berlumuran darah serta semakin lemah itu pula diikat dan dimasukkan ke dalam guni. Selepas itu beliau digantung pada sebatang pokok ceri dengan kepalanya ke bawah. Beliau menemui ajal di situ selepas ditikam bertubi-tubi dengan benet oleh Jepun.

Kematian Adnan dan anggotanya itu bermakna Singapura telah berjaya ditakluk sepenuhnya oleh Jepun kerana Bukit Chandu adalah pertahanan terakhir British. Esoknya, British secara rasmi menyerah kalah.

Keperwiraan Askar Melayu yang dipimpin oleh anak kelahiran Kajang ini begitu menyerlah sehingga menimbulkan kemarahan Jepun.

Bahkan tentera Jepun sama sekali tidak menyangka untuk menawan Bukit Chandu mereka perlu bertempur selama dua hari sedangkan di kawasan lain mereka dengan mudah menewaskan puluhan ribu tentera Britain, Australia dan India yang mempertahankan Singapura.

Biarpun platun Adnan tewas dalam pertempuran tersebut, namun ia telah meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Ini kerana mereka merupakan lambang kesetiaan perajurit tanah air terhadap negaranya. Lebih membanggakan, selepas tamat Perang Dunia Kedua, British telah menaikkan pangkat Adnan kepada Leftenan sebagai mengenang keberaniannya yang sedikit sebanyak menyelamatkan maruah British di Singapura.

Tahun lalu pula, anak kelahiran Kajang ini dikurniakan darjah kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) yang membawa gelaran Datuk sempena Keputeraan ke 75 Sultan Selangor.

Selain itu, namanya turut diabadikan pada kesemua 211 kereta perisai infantri jenis ACV 300 yang dibeli oleh kerajaan dari Turki bagi mengenang jasanya.

Kini sebahagian daripada kisah keberanian Askar Melayu tersebut bersemadi di sebuah banglo yang digelar `Reflections at Bukit Chandu’, sebuah galeri dan pusat penerangan Perang Dunia Kedua yang terletak di atas Bukit Candu. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar).




Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Catat Ulasan