#TRAGEDI MEMALI ~ Balu Ibrahim Libya Belum Maafkan Tun M


BALING – Selama 33 tahun, Soleha Hussin terpaksa menjalani kehidupannya dengan perasaan sedih dan marah di atas tragedi yang menyebabkan kematian suaminya.

Ustaz Ibrahim Mahmud, atau dikenali sebagai Ibrahim Libya merupakan salah seorang mangsa yang terkorban semasa tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985.

Insiden yang berlaku di kampung Memali di Kampung Charok Putih Siong itu telah mengorbankan 14 orang dan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Peristiwa itu merupakan hari paling gelap dalam hidup saya apabila arwah suami telah maut ditembak, tetapi apa yang lebih memeritkan adalah beban yang perlu ditanggung dalam menuntut keadilan di atas kematiannya.

“Saya mahu mereka yang bertanggungjawab agar membersihkan semula namanya daripada segala fitnah dan penipuan yang menyelubungi peristiwa yang membawa kepada kematiannya,” kata Soleha yang kini berusia 67 tahun dalam satu wawancara bersama akhbar New Straits Times.


Dalam pada itu, Soleha turut berkata anak-anaknya amat gembira apabila mendengar berita kemungkinan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Memali akan ditubuhkan.

“Anak-anak saya masih kecil ketika kejadian. Seorang pun tak ada di rumah ketika ayah mereka ditembak,” katanya.

Sehingga kini, Soleha dan sebahagian besar penduduk Memali masih belum dapat memaafkan perdana menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelmarin berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi mengkaji tragedi itu jika ada pihak yang memintanya.

“Anak-anak saya membesar bersama-sama fitnah dan penipuan oleh pihak berkuasa ketika itu, yang melabelkan arwah suami sebagai pemimpin pertubuhan pengganas, ekstremis dan menyebarkan ajaran sesat.

“Dia meninggal di atas pangkuan saya lebih 30 tahun yang lalu, kini saya hanya menuntut keadilan terhadap kematian suami saya sebelum saya menutup mata,” jelas Soleha yang mengakui tidak akan berasa tenang selagi RCI berkenaan tragedi itu ditubuhkan.

ALLAHYARHAM USTAZ IBRAHIM LIBYA

SOLEHA BIMBANG PERMOHONAN MENUBUNGKAN RCI ITU AKAN DIABAIKAN SEKIRANYA MAHATHIR KEMBALI BERKUASA. KREDIT FOTO: AHMAD ZAMZAHURI

“Suami saya hanya tidak bersetuju dengan ISA, kerana ia adalah undang-undang kejam yang bertentangan dengan prinsip Islam, tetapi pihak berkuasa telah menuduhnya sebagai seorang pelampau yang sedang berjuang untuk menggulingkan kerajaan.

“Dia bersumpah bahawa dia lebih rela mati daripada ditahan di bawah undang-undang yang menindas tetapi akhirnya dituduh mengetuai kumpulan revolusi bersenjata terhadap pihak berkuasa.

“Selepas 10 tahun berulang-alik ke mahkamah, kerajaan bersetuju untuk membayar RM20,000 kepada keluarga 14 orang awam yang terbunuh dalam insiden itu dan itu sepatutnya sudah menjadi sebab yang kukuh untuk kerajaan menubuhkan RCI supaya kebenaran akan akhirnya terbongkar.”

Soleha juga berkongsi kebimbangannya bahawa permohonan menubungkan RCI itu akan diabaikan sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini dan Mahathir, 92, kembali berkuasa.

“Jika Mahathir jadi Perdana Menteri, saya bimbang rayuan selama tiga dekad yang lalu untuk penubuhan RCI akan dilupakan kerana dianggap tidak relevan lagi,” tambah Soleha. – MYNEWSHUB.CC



Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment