#BOLASEPAK ~ Siaran Langsung Perlawanan Liga Malaysia Di Unifi


METERAI… Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) secara rasmi mengumumkan kolaborasi dua pihak bagi tajaan Liga Malaysia selama lapan tahun berturut-turut.

Penajaan bernilai RM480 juta oleh TM diwakili oleh Unifi iaitu jenama konvergens utama di bawah TM sebagai penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bersama bagi Piala FA bermula tahun ini sehingga tahun 2025.

Sehubungan itu, dengan termeterainya perjanjian ini, saingan liga bola sepak dalam Malaysia kini dikenali sebagai “Unifi Liga Super Malaysia” dan piala pusingan tersebut dinamakan sebagai “Unifi Piala Malaysia”

“Sebagai rakan kongsi siaran, Unifi TV akan menayangkan kesemua acara dan perlawanan, termasuklah Piala Sumbangsih, Liga Super Malaysia, Piala Malaysia, Piala FA serta siaran bersyarat.

“Ini termasuk perlawanan Liga Perdana, Challenge Cup dan lain-lain dianjurkan FMLLP. Unifi akan menyatukan seluruh peminat tempatan melalui penyediaan akses menerusi Unifi Home, Unifi Mobile dan Unifi Wifi.

“Ia bagi membolehkan tontonan kesemua perlawanan di Unifi TV dan Unifi PlayTV (kini tersedia di AppStore dan PlayStore),” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Menurut beliau, seluruh peminat bola sepak Malaysia kini boleh menonton setiap perlawanan Liga Malaysia dan menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi.

Ini kerana kesemua perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung melalui Unifi TV dan menerusi kesemua skrin yang boleh diakses dalam aplikasi Unifi PlayTV.

“Dengan kerjasama ini, Unifi kini satu-satunya jenama yang menawarkan detik aksi bola sepak secara langsung dalam definisi tinggi sepenuhnya di skrin peranti di rumah dan di mana-mana sahaja menerusi aplikasi Unifi PlayTV.

“Anda boleh menontonnya menerusi peranti tablet atau mudah alih pada bila–bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment