#PRU 14 ~ Perebutan undi Melayu pada PRU14 diramal sengit

Perebutan undi Melayu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dijangka sengit dan akan dimenangi oleh parti yang mempunyai gerak kerja terkuat di akar umbi, kata Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Beliau berkata berdasarkan landskap politik semasa, ada empat parti yang akan bertarung untuk undi Melayu iaitu Umno, PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Namun, kata Shamsul Amri, hanya Umno dan PAS mempunyai akar umbi yang kukuh.

"...sehebat mana pun seseorang pemimpin itu tetapi tanpa akar umbi yang boleh bergerak, sukar untuk mereka mendapatkan sokongan.

"Ini kerana mereka di peringkat akar umbilah yang akan menjalankan kerja-kerja berkempen dan berada dekat dengan pengundi dan ini memainkan peranan penting dalam menentukan undi yang akan diperoleh," katanya pada sesi perbincangan Meja Bulat Pra-PRU14: BN Kekal Atau...?? di Kuala Lumpur hari ini.

Sesi yang bertajuk 'BN vs PH vs PAS: Siapa Untung, Siapa Penentu' dikendalikan oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan Malaysia Datuk Zaini Hassan, turut menampilkan Ketua Penerangan BERSATU Datuk Kamarudin Md Nor dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki selaku ahli panel.

Mengulas isu itu, Kamarudin berkata kepesatan teknologi maklumat dan media baru menjadikan persaingan merebut undi Melayu agak rumit memandangkan rakyat - baik di kawasan bandar mahu pun luar bandar - berpeluang menerima maklumat yang sama dalam tempoh singkat.

Ini katanya membantu pengundi bandar dan luar bandar membentuk pemikiran yang mungkin serupa.

"Cuma isunya sekarang ialah sama ada Melayu bersedia untuk berubah kerana kebanyakan kajian penganalisis mendakwa masyarakat Melayu terutama luar bandar tidak bersedia mengambil risiko itu," katanya.

Sementara itu Mohd Zuhdi pula berpandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan memainkan peranan penting dalam menentukan arah undi Melayu pada PRU14, sekali gus membentuk 'tsunami Melayu'.

Katanya pandangan itu bersandarkan senario pada 2013 apabila NGO Cina menjadi penentu undi kaum tersebut.

Perbincangan meja bulat itu yang dianjurkan MPN bertujuan mengupas isu-isu nasional dan tempatan menjelang PRU14 serta melihat pola pengundian dan menilai peluang BN, Pakatan Harapan dan PAS pada pilihan raya tersebut.

- Bernama

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment