#PRU 14 ~ Tiga penjuru: BN hadapi laluan sukar - Nazri Aziz

Mohamed Nazri (tengah) bergambar bersama jentera Jalinan Rakyat Parlimen Padang Rengas dalam program itu.

PADANG RENGAS - Calon BN dijangka menghadapi laluan sukar terutamanya di kawasan majoriti Melayu jika wujud banyak saingan tiga penjuru dalam PRU14 kelak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pertandingan tiga penjuru akan menyebabkan undi Melayu berpecah kepada tiga.

Senario pertembungan sebegitu menyebabkan jentera BN di kawasan tersebut perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan parti di kawasan mereka.

“Undi Melayu sekarang sudah berpecah tiga dan contoh di sini (Padang Rengas), kalau PKR, Pas dan Umno bertembung maka ia bukan jalan mudah untuk BN.

“PKR juga dianggap parti Melayu dan ada keupayaan untuk mendapat undi Melayu. Apa pun, kita kena kerja kuat. Pilihan raya tak lama pun lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Pemimpin Bersama Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Padang Rengas di Dewan Millenium, baru-baru ini.

Tambah Ahli Parlimen Padang Rengas ini, beliau menjangkakan PRU14 bakal berlangsung pada April nanti dan ia dijangka sebelum Ramadan.

Menurutnya, April merupakan masa paling sesuai kerana BN memiliki kelebihan jika dibandingkan dengan pergolakan dalaman berlaku dalam parti pembangkang.

“Memandangkan pertengahan Mei kita berpuasa dan sekarang mood nampak baik dan ada kelebihan buat kita, jadi saya rasa April memang sesuai.

“Kalau habis saja Sidang Parlimen pada 5 April maka bila-bila masa selepas itu saya rasa kita akan adakan pilihan raya. Sebab itu saya kata PRU14 sudah dekat,” ujarnya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment