#SENSASI PANAS ~ DBKL lulus projek secara tidak sah, kata persatuan penduduk

Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) adalah kumpulan gabungan persatuan penduduk Kuala Lumpur yang kini mahu mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merangka pelan pembangunan dengan lebih teliti, melibatkan penduduk ibu kota secara langsung dan mementingkan kualiti kehidupan penduduk.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan projek pembangunan secara tidak sah, kata seorang peguam kanan yang juga pemimpin Selamatkan KL (SKL), sebuah kumpulan penduduk yang kuat menentang projek baru di kawasan pinggir ibu kota yang padat penduduk.

Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata DBKL sudah melakukan dua kesilapan: pertama, meminda pelan pembangunan tanpa melalui proses perundangan yang sepatutnya, dan kedua, gagal meluluskan pelan tempatan Kuala Lumpur dalam masa yang munasabah.

"Mereka meluluskan pelan pembangunan yang dipinda, seperti menukar status tanah, dan mereka tidak meluluskan pelan tempatan mengikut peruntukan undang-undang.

"Mereka sepatutnya meluluskan pelan tempatan itu secepat mungkin dan bukannya 10 tahun, seperti yang dilakukannya sekarang," kata Abdul Aziz kepada The Malaysian Insight.

Abdul Aziz, 84, memberikan wawancara ini selepas SKL pada hujung minggu lalu mengadakan satu bantahan aman di perkarangan Pusat Konvensyen KLCC bersempena Forum Perbandaran Dunia ke-9.

Di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982, sebuah pelan struktur dan pelan tempatan yang lebih terperinci – yang memperincikan guna tanah bagi pembangunan bandar raya – hendaklah dirangka dan diwartakan mengikut akta berkenaan, katanya.

"Di bawah undang-undang, dua pelan ini mesti digunakan untuk mentadbir Kuala Lumpur.

"Mereka sudah buat Pelan Struktur, iaitu satu rangka pembangunan kawasan, hanya satu rangka.

Mengikut undang-undang, secepat mungkin, mereka sepatutnya memperkenalkan pelan tempatan yang akan memperincikan setiap lot, nisbah plot dan semuanya.

"Hasrat undang-undang itu ialah supaya pengurusan perancangan (pembangunan) dibuat berdasarkan pelan tempatan," jelasnya.


Dr Abdul Aziz Abdul Rahman daripada SKL mengatakan DBKL melakukan pelan pembangunan ibu kota secara tidak sah apabila mengabaikan prosedur diperuntukkan undang-undang bagi membangunkan Kuala Lumpur.

Pelan tempatan yang dinamakan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 itu bagaimanapun tidak pernah diwartakan biarpun ia dilancarkan pada 2008.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Mhd Amin Nordin Abd Aziz pada Mac tahun lalu berkata tiada gunanya pelan itu diwartakan kerana ia sudah ketinggalan dan akan luput pada 2020.

Beliau sebaliknya berkata akan ada perbincangan untuk merangka pelan struktur yang baru bagi tahun 2050.

Menurut Abdul Aziz, tanpa pelan tempatan yang diwartakan, DBKL disyaratkan oleh akta tersebut untuk merujuk kepada pelan struktur.

"Apa saja yang dibuat di bawah pelan struktur, sebarang pindaan perlu melalui proses yang sewajarnya semula, iaitu mendapatkan pandangan atau bantahan penduduk, mengadakan pendengaran dan memberi notis untuk digazetkan dan lain-lain."

Beliau menyebut kawasan Damansara Heights di pinggir Kuala Lumpur yang dirizabkan bagi padang golf dan kawasan terbuka dengan pokok-pokok.

Kawasan itu kini sudah jadi sebahagian daripada bandar raya dengan bangunan tinggi lebih 10 tingkat.

Abdul Aziz berkata pada 1969 kawasan itu dahulunya tanah lapang yang diperuntukkan mengikut pelan struktur untuk lapangan golf dan taman permainan kanak-kanak.

"Kemudian ia jadi bandar tanpa kita tahu. Sudah tentu DBKL akan kata mereka sudah beritahu kita tetapi saya tidak tahu adanya sebarang pindaan ini.

" Tidak telus Di bawah akta yang sama, DBKL mesti menyerahkan cadangan pembangunan termasuk pertukaran guna tanah kepada menteri Wilayah Persekutuan dan atas persetujuan menteri, menerbitkan notis awam berhubung cadangan pindaan itu. Bagaimanapun katanya DBKL lazimnya hanya merujuk penduduk di sekitar kawasan projek untuk melihat notis itu di pejabat mereka, yang katanya, menyulitkan bagi kebanyakan orang dan tidak telus.

"Itu sebabnya SKL yang terdiri daripada lebih 30 persatuan penduduk dan NGO di Kuala Lumpur mendesak DBKL ini didemokrasikan.

"Pentadbiran majlis bandaraya mesti ditadbir oleh penduduk Kuala Lumpur, mereka memilih datuk bandar, pegawai dan menguruskannya dengan profesional," katanya, dan menambah SKL menyokong pilihan raya tempatan diperkenalkan semula.

Kemelut pembangunan ibu kota mula menjadi tumpuan media apabila persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail bangkit menentang rancangan pembangunan di Taman Rimba Kiara yang akan menghapuskan kawasan hijau ibu kota.

SKL sudah wujud sejak 2008, dan ketika itu dikenali sebagai Gabungan Selamatkan Kuala Lumpur, serta terlibat dalam perbincangan Pelan Bandaraya KL 2020.

Ia dihidupkan semula sebagai SKL tahun ini selepas beberapa persatuan penduduk tahun lalu seperti Taman Desa dan Taman Tun Dr Ismail mencabar pihak berkuasa atas pembangunan projek baru.

Kelmarin, penduduk TTDI sekali lagi naik angin selepas mendapati tapak sebuah tadika akan dibangunkan dengan sebuah bangunan pejabat. SKL disertai oleh persatuan penduduk antaranya Bukit Damansara, Medan Damansara, Mont Kiara, Lucky Gardens di Bangsar.

Kata Abdul Aziz, ada banyak lagi persatuan penduduk yang mahu menyertai badan itu. Ini adalah kawasan kediaman yang mewah tetapi mengalami perubahan apabila kediaman ditukar menjadi kedai, kawasan hijau dimusnahkan untuk projek baru dan menyebabkan kesesakan trafik apabila nisbah plot bertukar.

Pembangunan Kuala Lumpur yang keterlaluan juga kata Abdul Aziz menimbulkan masalah lain termasuk kebanjiran pekerja asing, salah guna dadah dan isu keselamatan.

"(Kalau DBKL) mahu (KL) berkembang dengan mapan, kami mahu membantu mereka. Tetapi mereka tidak harus dipengaruhi oleh sesetengah pihak kaya yang mahu membina bangunan kononnya untuk membangunkan bandar raya.

"Itu bukan pembangunan, itu perniagaan!" katanya. Ditanya sejauh mana SKL akan memperjuangkan isu ini, Abdul Aziz berkata mereka tidak merancang tindakan undang-undang tetapi mahu terus berbincang terlebih dahulu dengan DBKL.

"Ahli-ahli kami ada yang perancang bandar, ada yang sudah lama tinggal di merata tempat di serata dunia. "Itulah sebabnya matlamat kami ialah untuk DBKL berunding dengan kami terlebih dahulu, seperti yang mereka lakukan sebelum 2008 dahulu," katanya.


credit


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment