#BOLASEPAK ~ TMJ letak jawatan Presiden FAM?

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebentar tadi seakan memberi bayangan akan peletakan jawatannya sebagai kepala kepada badan induk tersebut.

Perkara itu dikongsikan menerusi Laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) yang difahamkan berpunca daripada penurunan sekali lagi ranking dunia bagi skuad kebangsaan.

“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh 3 anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar! Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan.

“Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya.

“Kepada seluruh Bangsa Johor yang saya sayangi dan juga kepada para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di seluruh dunia serta isteri dan anak-anak saya... Daddy’s home!,” katanya.

Tunku Ismail berkata, perletakan jawatan itu juga dibuat setelah beberapa misi yang ingin dicapainya dalam FAM tercapai selain berjaya merealisasikan kepentingan kebajikan pasukan yang bertanding.

“Sepanjang saya menjadi Presiden FAM, saya telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik para penaja untuk menyumbang kepada bola sepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara seperti melakukan kerjasama bersama LaLiga.

“Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan. Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air,” katanya.

Jelasnya menerusi usaha itu, kesemua kelab yang bertanding juga telah berjaya menerima RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran dimana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan.

Tunku Ismail turut memaklumkan skuad muda tanah air juga menunjukkan peningkatan yang positif apabila berjaya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia buat pertama kali.

“Skuad B23, B19 dan B16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia,” katanya.[SH]



Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment