#CUKAI TANAH ~ Naik sampai 1,000 peratus? Biar betul...

Sebahagian penduduk menyatakan tidak puas hati dengan kadar cukai tanah yang melambung.

KUANTAN - Penduduk Taman Sentosa, Air Putih, di sini, terkejut apabila menerima penyata pembayaran cukai tanah daripada Pejabat Tanah dan Galian dinaikkan sekitar 800 hingga 1,000 peratus, awal tahun ini.

Kira-kira 10 penduduk di situ mendakwa kenaikan cukai taksiran itu tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Seorang penduduk, Kong Siew Leong, 81, berkata, dia terkejut sebaik sahaja melihat penyata cukai tanah baharu yang diterimanya beberapa hari lalu.

Menurutnya, jumlah yang tercatat pada penyata itu berlaku kenaikan berganda berbanding penyata tahun lalu.

“Tahun lalu saya hanya perlu bayar RM186 setahun. Tapi tahun ini cukai taksiran naik sehingga RM1,730.

“Jumlah ini tidak logik dan saya tidak boleh terima kadar baru, seolah-olah menindas rakyat secara senyap,” katanya.

Menurutnya, dia buntu sebaik sahaja melihat jumlah sebanyak itu dan mengakui tidak mampu membayarnya.

Berikutan itu, katanya, dia membuat aduan kepada Adun Semambu, Lee Chean Chung supaya kes berkenaan dapat diselesaikan segera.

“Sebolehnya biar YB (Chean Chung) menjadi wakil kepada saya dan penduduk lain untuk bertemu dengan agensi terlibat menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Lorong Air Putih 25, di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, K Saraswathy, 55, berkata, dia turut menjadi mangsa kenaikan kadar cukai yang tidak munasabah itu.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya mengeluarkan wang sekitar RM60 sahaja untuk membayar cukai tanah.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini dia terpaksa membayar dua kali ganda iaitu RM450 daripada tahun sebelumnya.

“Saya hairan kenaikan kadar cukai tidak dimaklumkan kepada kami sebagai pembayar cukai,” katanya.

Menurutnya, dia bagaimanapun membuat pembayaran itu sebaik sahaja agensi berkenaan menerima rayuan bagi mengurangkan pembayaran kadar cukai terbabit.

Sehubungan itu, dia meminta kerajaan atau agensi memberi penjelasan berhubungan perkara itu selain memastikan sebarang kadar kenaikan adalah selaras.

“Boleh dikatakan kadar kenaikan kami semua tidak sama antara satu sama lain, sedangkan kami tinggal di satu taman yang sama. Jadi, saya minta YB selesaikan masalah kami dengan agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Chean Chung yang hadir bersama Ketua Penerangan Pakatan Harapan, Zulkifli Mohamed bagi mendengar masalah penduduk di situ berkata, beliau akan cuba menyelesaikan masalah itu dalam masa terdekat bersama Zulkifli.

“Saya agihkan satu surat rayuan kepada penduduk yang terlibat bagi memudahkan urusan saya bersama agensi berkenaan,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment