#LAMAN SOSIAL ~ Facebook rombak tetapan privasi

Menu tetapan sedia ada (gambar kiri) dan yang telah direka bentuk semula (gambar kanan).

CALIFORNIA- AMERIKA SYARIKAT. Laman media sosial, Facebook mengumumkan ia telah merombak tetapan privasi bagi memudahkan pengguna untuk mencari dan mengedit maklumat peribadi yang disimpan oleh syarikat gergasi tersebut.

Perubahan itu dibuat selepas ia dikecam banyak pihak selepas data 50 juta pengguna diguna oleh firma perunding politik, Cambridge Analytica untuk membina maklumat pengundi ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Facebook dalam satu kenyataan memberitahu pembaharuan itu telah dirancang sebelum skandal itu terbongkar untuk mematuhi peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU).

"Kelemahan yang didedahkan pada minggu lalu menunjukkan kami perlu bekerja keras untuk memperkuat dasar kami dan membantu pengguna memahami bagaimana fungsi Facebook dan pilihan terhadap data mereka.

"Kami menerima aduan tentang kesukaran untuk mencari tetapan privasi dan alat penting lain. Kami perlu memberi perhatian untuk memastikan pengguna sentiasa menerima maklumat terkini," kata Ketua Pegawai Privasi Facebook, Erin Egan. - BBC

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment