#PERLU BANTUAN ~ Peniaga Capati Mohon Bantuan Ringankan Beban 3 Anak OKU

Zul Fadli (kanan) menyampaikan barangan berupa keperluan dapur semasa melawat Sakinah.

KUANTAN - Seorang peniaga capati meraih simpati orang ramai supaya membantu anak sulungnya yang mengalami kecacatan fizikal kekal untuk terus hidup.

Sharif Majib, 50, berkata, dia tidak mampu menyediakan keperluan Sakinah, 25, sebaiknya memandangkan pendapatan diraih sekitar RM50 sehari.

Menurutnya, wang yang diperolehi hasil penjualan capati itu terpaksa digunakan bagi membeli keperluan harian, selain menyara tiga anaknya yang masih bersekolah.

Malah, katanya, isterinya, Ragina Abdullah tak boleh bekerja kerana perlu jaga Sakinah.

“Jadi saya pencari rezeki tunggal dengan menjual capati. Duit yang saya dapat dari penjualan itu saya gunakan untuk wang saku anak yang masih bersekolah dan perbelanjaan makanan harian mereka sekeluarga,” katanya.

Selain Sakinah, Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak OKU iaitu Muhammad Hafiz, 18, dan Nur Afeefah, 15, yang mengalami masalah pembelajaran.

Bapa kepada lima anak itu berkata, walaupun memperolehi bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekitar RM300, namun ia tidak mencukupi bagi menampung kos keperluan anak istimewanya itu.

Ini kerana, katanya, setiap bulan dia terpaksa membelanjakan wang sekitar RM1,000 hingga RM1,500 untuk membeli lampin pakai buang dan susu formula khas iaitu Ensure Fos.

“Kos itu amat tinggi bagi saya, tambahan pula Sakinah bergantung sepenuhnya kepada susu formula untuk dia teruskan hidup. Sebulan dia memerlukan kira-kira empat hingga lima tin.

Keadaan Sakinah yang hanya mampu terlantar sepanjang hayatnya.

“Harga untuk satu tin pula cecah RM80. Lampin pakai buang pula sekitar dua atau tiga bungkus sebulan,” katanya ketika di Taman LKNP, Bukit Setongkol, semalam.

Turut melawat keluarga itu, Ketua Pemuda Pas Dun Semambu, Zul Fadli Zakaria.

Bercerita lanjut mengenai Sakinah, Sharif memaklumkan anak sulungnya itu pada awalnya dilahirkan normal.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa hari dilahirkan, dia mengalami demam panas sehingga memberi kesan kepada fizikalnya.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan saya anggap ia ujian kerana ALLAH menganugerahkan saya tiga anak OKU,” katanya.

Dia bagaimanapun berharap ada pihak yang sudi menderma bagi membolehkan anaknya menjalani hidup dengan selesa.

“Bantulah anak saya untuk dia terus hidup. Cukup untuk dia saja. Untuk anak- anak lain saya masih ada kudrat untuk menyara mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Sharif di talian 011-16389399.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment