#SUMBANG MAHRAM ~ Adakah salah mangsa berdiam diri?

OLEH: HAJAR HUMAIRA RAMLAN

Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini, hampir setiap edisi akhbar pasti akan terselit laporan berita mengenai kes rogol yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri ke atas mangsa atau sering kali digelar ‘haruan makan anak’.

Ahli keluarga yang dimaksudkan termasuklah sama ada bapa kandung, bapa saudara, abang kandung mahupun atuk. Isu ini bagaikan tiada kesudahan dan terus-menerus berlaku saban hari.

Menurut statistik daripada Polis Diraja Malaysia dari tahun 2015 hingga 2017, 89 peratus jenayah rogol di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun berlaku di dalam rumah di mana perogolnya sangat dekat dan dikenali oleh mangsa sendiri.

Malah yang lebih mengejutkan ialah bapa kandung merupakan “pemangsa” tertinggi iaitu (25.5%), diikuti bapa tiri (25.2%) dan bapa saudara (17.4%). Ahli keluarga yang seharusnya menjadi insan terdekat yang paling dipercayai kini bagikan sudah tidak boleh dipercayai sepenuhnya malah menjadi ‘gunting dalam lipatan’.

Gejala sosial ini merupakan salah satu daripada berjenis-jenis gejala sosial yang selari dengan yang lainnya. Bezanya gejala ini dianggap besar kerana melampaui batas-batas kemanusiaan dan keinsanan sama ada daripada kaca mata manusia mahupun agama.

Dalam Islam, hukum jenayah sumbang mahram adalah haram dan salah satu daripada dosa besar. Kerana itulah Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitab Az-Zawajir berkata: “Zina yang paling keji adalah berzina dengan mahram (ahli keluarga)”. Kejinya itu kerana seseorang yang sepatutnya melindungi ahli keluarganya telah mengambil langkah menganiaya ahli keluarganya sendiri.

Menurut ahli psikologi daripada Universiti Sains Islam Malaysia, Rezki Perdana Sawai, antara dilema yang dihadapi oleh mangsa ialah apabila mangsa tidak berdaya untuk melakukan apa-apa tindakan apabila diperlakukan sebegitu.

Beliau juga merujuk kepada teori learned helplessness (perasaan ketidakberdayaan) yang menyatakan bahawa individu yang teraniaya umumnya berpendapat bahawa mereka tidak memiliki kekuatan untuk menghentikan perbuatan penyeksanya, dan akhirnya cenderung untuk berhenti berusaha untuk merubah situasi kekerasan tersebut.

Dilema sebeginilah yang menyebabkan kebanyakan mangsa tidak terus membuat laporan kepada pihak berkuasa malah mendiamkan diri dan terus menjadi hamba seks ahli keluarga sendiri.

Tambahan pula, kaum wanita dijadikan fitrahnya lemah lembut dan kurang berdaya berbanding kaum lelaki yang nyata lebih perkasa. Namun terdapat sebilangan lelaki yang sudah hilang pertimbangan dan kewarasan mengambil kesempatan di atas perkara ini lalu menjadikan wanita yang haram disetubuhi dalam keluarga sendiri sebagai jalan mudah untuk melampiaskan nafsu mereka.

Kini, sudah ada pihak yang mengetengahkan isu ini di beberapa media sosial seperti Instagram, Facebook dan antaranya melalui kempen iaitu #StopPerogolDalamRumah yang melibatkan beberapa figura yang terkenal untuk mempromosikan kempen tersebut.

Walau bagaimanapun, masyarakat masih perlu diberi kesedaran yang lebih mendalam agar mengambil berat, lalu bersama-sama menghentikan isu ini daripada terus berleluasa.

Kita seharusnya cakna terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita dan mengambil tindakan yang bijak untuk membantu agar masyarakat pada hari ini dapat terus menjalani kehidupan dalam sebuah masyarakat yang harmoni.

* Penulis ialah penuntut Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Usim

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment