#DURIAN RUNTUH ~ 9 khabar gembira untuk penjawat awam, pesara kerajaan

KERAJAAN hari ini mengumumkan sembilan khabar gembira masing-masing kepada penjawat awam dan pesara kerajaan di seluruh negara.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di hadapan lebih 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Berikut adalah intipati penting berkaitan sembilan berita gembira tersebut:

1-Kenaikan Gaji Tahunan

Pemberian kenaikan gaji tahunan (KGT) kepada semua 1.6 juta penjawat awam, berkuat kuasa 1 Julai 2018. Pemberian kenaikan bersamaan satu KGT ini akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion untuk kerajaan. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat tambahan satu lagi KGT disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.

2-Pemendekkan Tempoh Kenaikan Pangkat - Time-Based

Memendekkan tempoh kenaikan pangkat berasaskan 'time based' kepada kakitangan kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018. Pelaksanaan ini akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta dengan 13,006 pegawai terbabit.

3-Lapisan Kenaikan Pangkat Gred 56 Untuk Pegawai Pendidikan

Mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus bagi pegawai yang berada lebih lima tahun di Gred 54. Ianya akan memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

4-Kemudahan Perubatan Ibu Bapa Untuk Pegawai Kontrak

Berikan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai lantikan kontrak dan memberi faedah kepada 42,867 pegawai, berkuat kuasa 1 Julai 2018.

5-Cuepacs Terima RM 3 Juta Setahun

Kerajaan bersetuju menyumbang sekurang-kurangnya RM3 juta setahun kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

6-Cuti Untuk Aktiviti Keagamaan Bagi Bukan Islam

Memberikan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari maksimum sepanjang tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Januari 2018 kepada penjawat awam bukan beragama Islam menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing. Sebelum ini, kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan selama tujuh hari hanya diberikan kepada penjawat awam beragama Islam bagi tujuan menunaikan umrah.

7-Kenaikan 1 Peratus Kadar Pencen Untuk Pesara

Satu peratus kenaikan kadar pencen secara one-off mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2018 sebagai tambahan kepada dua peratus diterima pesara pada 1 Januari 2018.

8-Geran Khas Untuk Kelab Berkaitan Pesara Kerajaan

Memberi geran khas masing-masing RM1 juta kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia; Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (KUPEKMAS) bagi menganjurkan aktiviti persatuan dan kelab.

9-Kuota Khas Untuk Kakitangan Awam Tunaikan Haji

Kerajaan bersetuju menetapkan satu kuota khas kepada kumpulan berkenaan sejurus mendapat kuota diperuntukkan kepada Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.

Adakah ini merupakan penghargaan terakhir untuk para kakitangan awam dan pesara kerajaan sebelum pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Malaysia, lalu menyaksikan satu Pilihanraya Umum (PRU) yang baru dilaksanakan?

Mungkinkah dengan cara ini, para penjawat awam serta pesara akan membalas jasa kerajaan yang sedang memerintah sekarang dengan memberikan mandat lebih baik untuk menerajui pentadbiran akan datang?

Sebenarnya banyak lagi nasib rakyat yang masih belum terbela dengan sebaiknya, selain daripada ratus ribu penjawat awam di Malaysia. Siapapun yang menjadi pemerintah adalah bertanggungjawab penuh untuk memastikan rakyat negara ini mendapat apa yang sepatutnya setelah berpuluh tahun merdeka dan bebas dari penjajahan.

Harapnya berita gembira seperti ini akan terus kedengaran di masa akan datang dan bukan hanya muncul ibarat ikan yang cuba nak mengambil nafas di muka air.

credit
Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment