#PENDAPAT ~ Jadi Wakil Rakyat Atau Ahli Politik Bukan Kerja...

Oleh: Norizan Sharif
PARTI-PARTI politik sudah pun mengumumkan nama-nama calon pilihan raya umum ke-14. Dua hari lagi, mereka akan membuat pencalonan rasmi. Dan, bermulalah kempen pilihan raya umum.

Kempen pilihan raya ialah satu proses pemasaran politik. Sebagai “pembeli,” pengundi harus memahami taktik jualan yang digunakan oleh parti-pari politik.

Sekiranya tidak, pengundi akan terperangkap “membeli” produk yang tidak ada kualiti.

Inilah yang kita sebutkan sebagai literasi politik atau political literacy. Literasi politik samalah seperti literasi huruf.

Seseorang yang tak tahu membaca, kita kata dia buta huruf atau illiterate. Seseorang yang tak faham asas-asas politik, kita kata dia buta politik atau political illiterate.

Kalau kita suruh orang buta huruf atau illiterate baca, jadilah macam filem P Ramlee.

Lain yang dieja, lain yang disebut. Alif. Ya. Mim. Disebut, buaya. Begitu jugalah dengan politik. Nak ulas politik, kena faham asas-asas politik.

Dalam aturan bernegara, kita ada dua bentuk kepimpinan. Pertama, political leadership atau kepimpinan politik. Kedua, administrative leadership atau kepimpinan pentadbiran.

Kepimpinan politik dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Di negara kita, jemaah menteri atau ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dibentuk oleh wakil-wakil rakyat yang menganggotai Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Ahli majlis pihak berkuasa tempatan juga termasuk dalam kategori kepimpinan politik, walaupun mereka dilantik oleh parti pemerintah.

Peranan mereka ialah bawa suara rakyat ke Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Majlis PBT.

Di Barat, ada town hall meeting untuk kepimpinan politik dengar suara rakyat. Di Malaysia, wakil rakyat pergi majlis kenduri, atau makan-makan di gerai untuk dengar suara rakyat.

Satu sistem formal, satu lagi informal dan santai.

Dalam aturan bernegara kita, kepimpinan politik atau wakil rakyat bawa suara rakyat. Contoh, mereka kata rakyat mahukan sistem pengangkutan yang lebih cekap.

Suara rakyat inilah yang membentuk undang-udang. Nak laksanakan, mereka luluskan bajet.

Untuk merealisasikan suara rakyat itu, kita ada kepimpinan pentadbiran atau administrative leadership. Ini dikenali sebagai penjawat awam.

Pada peringkat pusat, ia diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN). Pada peringkat negeri, ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK).

Jawatan dalam kepimpinan pentadbiran adalah “kerja.” Bagaimanapun, jawatan kepimpinan politik bukan kerja.

Kita boleh jadi ahli Parlimen dan timbalan menteri, tetapi itu bukan bermaksud kita ada dua kerja.

Dia adalah wakil rakyat atau elected representatives. Inilah kesilapan seorang timbalan menteri dulu yang kata dia ada empat kerja.Ahli politik bukan “kerja.”

Bagaimanapun kesemua pemimpin parti politik di Malaysia ialah career politician. Mereka tak ada kerja lain.

Hal ini berbeza di Barat. Di sana, seseorang pensyarah universiti boleh bercuti untuk bertanding dalam pilihan raya.

Selepas jadi ahli House of Representatives (wakil rakyat) untuk satu atau dua penggal, mereka kembali jadi pensyarah.

Dengan cara ini, mereka tidak “bekerja” sebagai wakil rakyat sebagaimana wakil rakyat kita. Dalam bahasa mudah, mereka mewakili suara rakyat dan politik bukan tempat cari makan.

Seseorang yang melepaskan jawatan menteri besar tak boleh disamakan dengan orang macam kita yang diberhentikan kerja.

Kalau kita faham prinsip ini, kita tidak berlebih-lebihan mengucapkan tahniah kepada mereka yang dinamakan calon pilihan raya. Itu amanah.

Ramai pemimpin politik yang mula-mula pegang jawatan cukup beramanah, selepas itu hilang punca disebabkan kuasa dan harta.

Sebagai rakyat, saya fikir tidak terlalu lewat untuk kita mengingatkan calon-calon pilihan raya untuk menjunjung amanah kepimpinan ini dengan baik.

Usah anggap jawatan YB sebagai tempat buat bisnes, dapatkan kontrak kerajaan atau lubuk kekayaan.

Jika ada calon pilihan raya anggap jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri itu sebagai pekerjaan, itu tanda calon pilihan raya itu buta politik!

* Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di New Jersey, Amerika Syarikat

-SH-

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: