#PRIHATIN ~ Wanita OKU Ditemui Kurus Kering Dan Bergelumang Najis Sendiri

KOTA BHARU: Suara jeritan dari dapur di sebuah rumah di Pengkalan Chepa di sini membawa penemuan seorang wanita dalam keadaan tidak bermaya.

Mangsa berusia 44, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lembam ditemui dalam keadaan lemah dan kotor malah di lantai penuh dengan najis mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata jeritan mangsa didengari seorang jiran pada jam 9.15 malam tadi yang curiga sebelum bertindak mengintai dari cermin tingkap sebelum menghubungi pihak polis.

"Anggota kami segera ke lokasi di Taman Pinggiran Industri dan apabila tiba, keadaan rumah berkunci sebelum anggota bertindak memecahkan pintu dapur.
"Sebaik pintu dipecahkan mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berbau hamis serta busuk disebabkan keadaannya yang tidak terurus dan najis turut ditemui di lantai.
"Kita percaya mangsa berkeadaan begitu (tidak terurus) sudah lama melihat kepada keadaannya yang lemah dan susuk badan yang kurus," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Mangsa tinggal bersama adik perempuannya yang berusia 40 tahun yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur sebelum mereka berpindah ke Pengkalan Chepa sejak enam bulan lalu.

KEADAAN mangsa, Wan Hasmarina Wan Mohammad, 44, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) jenis lembam yang ditemui dalam keadaan lemah dan kotor malah di lantai penuh dengan najis mangsa dalam ruang dapur sebuah rumah di Taman Pinggiran Industri, Pengkalan Chepa. - Foto Ihsan Pembaca

Adik perempuan mangsa bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di sini dan ketika serbuan dibuat tiada di rumah.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut.

Ismail berkata siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti sama ada mangsa diabaikan penjaga atau mempunyai sebarang unsur lain.

Ketika ditemui di hospital, mangsa yang sedang dirawat mengadu sejuk dan lapar, manakala adik perempuan mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk soal siasat.[BH Online]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: