#PRU 14 ~ Pengarah Pilihanraya,Cikgu Jaafar umum keluar Amanah

KLANG - Pengarah biro pilihan raya Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Jaafar Samsudin, 62, atau lebih dikenali Cikgu Jaafar mengumumkan keluar daripada Amanah berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Sinar Harian pagi ini.

Pada masa sama, bekas guru itu memaklumkan turut melepaskan tiga jawatan penting dalam parti itu sebagai pengarah biro pilihan raya Amanah Selangor, Ketua Amanah bahagian Kota Raja dan pengarah pilihan raya Amanah Selangor.

Beliau berkata, peletakan jawatan dan keputusan keluar parti itu dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada kepimpinan Amanah Nasional jam 4 petang semalam.

“Keputusan ini bukan baru dibuat sebaliknya sudah berbulan-bulan saya berfikir untuk membuat keputusan ini.
“Saya kesal dengan kepimpinan atasan Amanah yang tidak mahu mendengar suara akar umbi di Kota Raja yang mahukan anak tempatan sebagai calon Ahli Parlimen,” katanya.

Menurutnya, dia juga terkilan kerana pihak atasan seolah-olah tidak menghormatinya sebagai pengarah pilihan raya Amanah Negeri meskipun banyak perkara disuarakannya sejak berbulan-bulan lalu, namun dipandang enteng.

Ketika ditanya adakah pemilihan Presiden, Mohamad Sabu atau Mat Sabu bakal dicalonkan di Parlimen itu membuat beliau bertindak demikian, tegasnya, pemimpin atasan perlu juga mendengar pandangannya sebagai Ketua Kawasan yang membawa suara akar umbi.

“Saya sudah lama tahu Mat Sabu nak bertanding di sini, paling tidak datanglah jumpa saya, paling penting ‘personal touch’ dengan saya.
“Saya lebih tahu apa yang terjadi di sini dan juga apa yang penduduk Kota Raja mahukan,” katanya.

Terdahulu, Mat Sabu mengesahkan beliau bakal bertanding di Selangor, nama beliau disebut-sebut akan mengisi kerusi Parlimen Kota Raja.

Pada masa sama, anak jati Pulau Indah itu berkata, dia juga tidak mahu perkara-perkara berkaitan hak peribadi diketengahkan ‘seterunya’ semata-mata mahu menjatuhkannya dan membuatkannya tidak dicalonkan parti.

“Permainan itu sangat jelik dan sangat kotor, saya amat terkilan apabila benda sebegitu dijadikan ‘seteru’ saya bagi menunjukkan saya ini ini tidak layak.
“Hal peribadi ditonjolkan, dalam politik bila berkaitan hal peribadi ia akan merosakkan kerja kita, organisasi dan juga jentera kita,” ujarnya.

Katanya, dia belum berhasrat untuk menyertai mana-mana parti, namun tidak pernah menganggap rakan-rakan dalam Pas mahupun BN sebagai musuh.

“Mungkin hari ini kita boleh jadi lawan, tak mustahil esok lusa kita boleh jadi kawan sepertimana Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Begitulah dalam politik, yang membezakan kita hanyalah organisasi, meskipun sebelum ini saya keluar daripada Pas menyertai Amanah, namun saya tetap berkawan dengan rakan-rakan dalam Pas dan juga Umno/BN,” katanya.

Jaafar menyertai Pas pada 1998 dan memegang jawatan pengarah pilihan raya Pas Selangor bermula dari tahun 2002 hingga 2015. Beliau yang turut memegang jawatan sebagai Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kota Raja kemudian meninggalkan parti Islam itu pada 2016 bersama Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud untuk menyertai Amanah.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: