#APA KES ~ Menteri kewangan tidak adil: Arul Kanda

Arul Kanda (kanan) memberi penjelasan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berhubung hutang 1MDB di Kementerian Kewangan, semalam.- Foto Bernama

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy menyifatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak adil terhadapnya apabila mengeluarkan kenyataan umum yang didakwa memberi gambaran tidak tepat dengan situasi sebenar berhubung isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Arul Kanda, menafikan kenyataan Guan Eng dan menyifatkan kenyataan itu sebagai serangan yang berpotensi memfitnah serta bersifat peribadi terhadap beliau.
“Di atas kapasiti peribadi terhadap kenyataan beliau itu, saya telah mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam mengenai pilihan yang saya ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia susulan Guan Eng menyelar Arul Kanda sebagai seorang yang 'tidak jujur' dan 'tidak boleh dipercayai' selepas pertemuan mereka selama 40 minit di Kementerian Kewangan, semalam.

Guan Eng meminta Arul Kanda datang bertemunya bagi menentukan status kewangan 1MDB terutama keupayaan membayar semula hutang serta tanggungan hutang.

Mengulas lanjut, Arul Kanda mendakwa, Guan Eng berlaku tidak adil apabila membuat kenyataan umum yang tidak sepenuhnya mewakili setiap soalan dan jawapan, sepanjang pertemuan tersebut.
“Adalah tidak adil bagi menteri mengeluarkan kenyataan awam yang tidak sepenuhnya dan tepat mewakili bagaimana soalan-soalan itu telah ditanya dan dijawab.
“Keadaan saya dan konteks jawapan saya tidak dimasukkan sehingga ia menghasilkan gambaran yang tidak benar dan negatif tentang saya,” katanya.
Jelasnya, sepanjang pertemuan tersebut, setiap soalan yang diajukan telah dijawab dengan sebaik mungkin.
“Saya ditanya banyak soalan dan saya ingat, saya jawab dengan jujur dan sebaik mungkin walaupun ketika itu tanpa dokumen sokongan.
“Saya menjawab berdasarkan pengalaman dan apa yang saya ingat dari rekod syarikat, pengetahuan peribadi saya selain apa yang saya ingat mengenai maklumat diberikan oleh pegawai syarikat,” katanya.
Sementara itu, Arul Kanda turut menjelaskan bahawa pembabitannya dalam 1MDB bermula pada Januari 2015, iaitu selepas syarikat tersebut terbeban dengan hutang dan berada dalam keadaan bermasalah.
“Saya hanya menyertainya selepas berlaku apa yang dikatakan sebagai salah laku yang disebut dalam Laporan PAC 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan saman sivil DOJ.
“Beberapa pihak berkuasa domestik telah menjalankan dan masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB. Isu-isu tertentu yang berkaitan dengan dana pelaburan 1MDB (termasuk yang bertanggungjawab untuk pelaburan asal dan pengurusannya yang berterusan) telah ditegaskan dari tahun 2015, dan kemudiannya dikemaskini, bukan hanya kepada pihak berkuasa yang menyiasat, tetapi juga kepada Lembaga dan Pemegang Saham.
“Fokus saya adalah sentiasa pada rasionalisasi perniagaan syarikat itu,” katanya.
Dalam pada itu, Arul Kanda berkata, akan sentiasa komited dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan 1MDB.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Catat Ulasan