#KERAJAAN PH ~ Dr Wan Azizah ketuai angkat sumpah 13 menteri Kabinet



KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara petang semalam.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil itu turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Istiadat berkenaan bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama di negara ini.

Dr Wan Azizah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Menteri Dalam Negeri; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sebagai Menteri Kewangan; dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, sebagai Menteri Pertahanan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan; Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi); Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan); dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).

YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyerahkan Surat Cara Pelantikan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Anthony Loke Siew Fook pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyerahkan Surat Cara Pelantikan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia kepada Gobind Singh Deo pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Menteri-Menteri Persekutuan di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia; Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia); Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani); dan Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Mereka masing-masing turut menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Raus dan Ali.

Istiadat itu berakhir dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada 10 Mei lepas, Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh, sehari selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan tamatnya pemerintahan 61 tahun Barisan Nasional.

Dr Mahathir dijangka menamakan anggota Kabinet yang seterusnya secara berperingkat.

Selepas istiadat itu, Dr Mahathir dan anggota Kabinet  menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA


Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Catat Ulasan