#PRU 14 ~ Dr Ahmad Samsuri dilantik MB Terengganu

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15 kepada ADUN Rhu Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering, malam tadi. - Foto Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepati ramalan apabila dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu yang baharu, selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), semalam.

Pelantikan Setiausaha Politik Presiden PAS itu diperkenan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini, malam tadi.

Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu disenaraikan sebagai calon Menteri Besar bersama dua lagi nama lain.

Pemilihan Dr Ahmad Samsuri yang juga pakar aeroangkasa itu dikatakan usaha PAS menampilkan generasi kepimpinan baharu di Terengganu dengan menggembleng tenaga teknokrat dan ulama.

Selain pelantikan Ahmad Samsuri, 48, yang juga anak jati Besut itu sebagai Menteri Besar Terengganu yang ke-15, Sultan Mizan turut memperkenankan pelantikan 10 EXCO kerajaan negeri.

Mereka yang dilantik ialah ADUN Ladang, Tengku Hassan Tengku Omar; Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam); Mohd Nor Hamzah (Bukit Payung); Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Hanafiah Mat (Chukai).

Lima lagi yang dilantik EXCO ialah Satiful Bahri Mamat (Paka); Dr Azman Ibrahim (Jabi); Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera); Mamat Puteh (Kuala Berang) dan Ariffin Deraman (Alor Limbat).

Pelantikan itu selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.

Dengan pelantikan itu, Dr Ahmad Samsuri bersama 10 EXCO dilantik akan memulakan tugas di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Keputusan PRU-14 menyaksikan PAS kembali menjadi kerajaan negeri buat kali kedua selepas PRU-10 pada 1999 dengan majoriti dua pertiga.

PAS negeri mendominasi 22 daripada keseluruhan 32 kerusi DUN dan enam daripada keseluruhan lapan kerusi Parlimen di seluruh negeri, menewaskan BN pimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang hanya memenangi 10 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.[BH Online]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment