#PRU 14 ~ Hadi nasihat Tun M utamakan amalan wajib dahulu

Abdul Hadi ketika hadir menyampaikan ceramah di pekarangan Pasar Wakaf Bharu, malam tadi.

TUMPAT - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan Tun Mahathir Mohamad supaya mengutamakan amalan wajib terlebih dahulu daripada yang sunat.

Nasihat itu diberikan susulan tindakan bekas perdana menteri itu yang mahu menziarahi kubur Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

Abdul Hadi berkata, sepatutnya Tun Mahathir perlu menyokong perjuangan Islam dengan meletakkan dasar Islam dalam pemerintahan negara.

“Masalah loni (sekarang) tinggal hak wajib buat yang sunat.

“Macam gi (pergi) ziarah kubur, itu sunat, bukan perkara wajib, yang wajib kena sokong perjuangan Islam itu,” katanya.

Beliau yang juga calon Parlimen Marang berkata demikian ketika berucap pada ceramah umum PRU14 di pekarangan Pasar Wakaf Bharu, malam tadi.

Hadir sama, calon Pas Dun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah; calon Pas Dun Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob; calon Pas Dun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan calon Pas Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak membenarkan bekas perdana menteri itu menziarahi pusara Tok Guru di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka dan mengambil tindakan mengunci pagar bagi mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Tindakan mengunci pintu pagar itu dilakukan Mudir Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Nik Matillah, Fazilah Hakimi, kira-kira jam 9.30 pagi semalam atas arahan anak Allahyarham, Nik Adli.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment