#PRU 14 ~ Jelajah calon BN Kuala Langat bertukar jadi konsert


Siri 'jelajah calon BN' Kuala Langat malam tadi bertukar menjadi konsert dan pemberian cabutan bertuah selepas kebanyakan calon tidak muncul pada program itu.

Poster promosi untuk acara itu menampilkan imej semua calon BN di Kuala Langat - Shahril Sufian Hamdan bagi kerusi parlimen dan Datuk Sulaiman Mohd Karli, Rozana Kamarulzaman dan Ng Siok Hwa bagi kerusi DUN Sijangkang, Morib dan Banting.

Beberapa individu memberitahu Malaysiakini mereka sangat berharap untuk bertemu Shahril.

Bagaimanapun, hanya Sulaiman hadir pada majlis itu ketika acara hampir berakhir.

Acara yang diadakan di padang bola sepak di Kampung Melayu Buaya di Morib itu pada awalnya bermula lewat.

Pentas masih diselenggara pada pukul 9:30 malam, sejam selepas acara sepatutnya bermula.

Orang ramai kebanyakannya kaum Melayu beredar perlahan-lahan, dengan kebanyakan 500 meja dan 500 kerusi kosong sehingga lewat malam.

Mereka dilihat membungkus nasi lemak dan kacang goreng serta ramai yang mengambil lebih daripada satu pek.

Artis laung 'BN boleh!'

Pada jam 10 malam, pelawak Yassin dan Ebby Yus akhirnya mengambil tempat sebagai pengacara majlis.

Yassin memakai baju perang biru dengan logo BN, manakala Ebby memberitahu orang ramai supaya "bersyukur" dengan kedamaian yang mereka nikmati sekarang.


Penyanyi Datuk Nash, Bandi Amok dan band rock Jinbara terus menghiburkan penonton dan mengingatkan mereka supaya "berfikir dengan teliti" sebelum mengundi.

Mereka menyampaikan lagu yang diselang selikan dengan laungan "BN boleh!".

Para penonton, termasuk kebanyakan keluarga dan remaja menjawab dengan penuh semangat.

Tiada calon BN dilihat ketika cabutan bertuah bermula.

Antara barangan yang diberikan ialah motosikal, televisyen LED 32-inci, mesin basuh, peti sejuk, seterika dan mesin pengisar.

Pada 12 tengah malam, Norisma Salilan, 29 diumumkan sebagai pemenang motosikal, ketika Sulaiman tiba di lokasi acara.[mKini]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment