#PRU 14 ~ Masyarakat India pilih Pas

Devaraj (duduk, tiga, kiri) bergambar bersama penyokong Pas di markas Taman Desa Bidara.

KUALA KETIL - Masyarakat India yakin hak asasi mereka akan terbela di bawah pentadbiran Pas.

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pemuda Pas (DHPP) Kedah, Devaraj Lecthmanan berkata, kaum India lebih selesa memilih Pas mentadbir negara kerana perjuangannya jelas.

Menurutnya, tidak semua parti memperjuangkan hak asasi manusia seperti mana Pas.
“Dasar Pas ialah Islam di mana ia dapat membela hak kemanusiaan semua kaum. Orang bukan Islam akan dapat kesejahteraan hidup di bawah parti ini.
“Kita semua rakyat Malaysia mengimpikan kesejahteraan, keamanan, dan kesaksamaan. Ketiga-tiga perkara ini tiada dalam kerajaan BN termasuk parti komponennya MIC,” katanya.
Beliau berkata, hak asasi masyarakat India di bawah kerajaan BN tidak diberikan perhatian dengan baik. Katanya, masih terdapat rakyat India yang lahir di negara ini tiada surat beranak dan kad pengenalan.
“Bagaimana kita mahu buktikan MIC menyatupadukan kehidupan rakyat India? Mereka hanya bela kerusi dan pangkat mereka.
“Masyarakat India juga masih ramai tidak mempunyai kediaman sendiri. Rumah kos rendah pun berapa orang masyarakat India boleh dapat? Ada yang pohon lima tahun lalu sampai sekarang tak dapat status,” katanya.
Menurutnya, caj GST membebankan lagi kesusahan masyarakat India.
“GST menyusahkan rakyat hingga menyebabkan rakyat benci kepada kerajaan. Hasilan di negara kita cukup.
“Berbeza dengan Pas yang berjaya mengurus tadbir kerajaan negeri dengan baik. Malah parti ini juga kosong daripada rasuah,” katanya.
Devaraj berkata, tuduhan terhadap Pas menerima dana daripada Umno juga harus dihentikan.
“Mereka kata kita terima bayaran tunai daripada Umno, bolehkah mereka kemukakan bukti atau sekurang-kurangnya tunjuk audit penyata?
“Parti yang keluarkan kenyataan begini, supaya jangan pandai kelirukan rakyat, kami sudah cerdik untuk menentu mana baik mana buruk,” katanya.[SH]

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: