#PRU 14 ~ RABU – Rakyat Akan Buang Umno

Oleh:A Kadir Jasin

UMNO-Barisan Nasional (BN) walaupun sudah hilang kedudukan sebagai kerajaan bermandat tapi ia terus menggunakan jentera kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk berkempen.

Najib melakukan upacara "pecah amanah" Hospital Pendang. Dah 18 tahun janji.

Ini adalah perbuatan yang menyalahi undang-undang dan amalan demokrasi.

Tetapi ini tidaklah menghairankan pasal kerajaan Umno-BN di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah kerajaan kleptokrasi – kerajaan yang mencuri.

Majlis dan pesta yang membabitkan jabatan kerajaan dan GLC serta GLIC terus diadakan dengan dihadiri oleh Najib sendiri.

Perbuatan ini bercanggah dengan semangat Perlembagaan yang memberi kuasa terhad kepada kerajaan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan dan pilihan raya baru dipanggil.

Namun kerajaan yang mencuri berbilion duit rakyat dan kemudian membebankan GST ke atas mereka tidaklah boleh diharapkan untuk menghormati semangat Perlembagaan itu.

Kalau mereka boleh melakukan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa tanpa berasa malu atau berdosa, apalah sangat menyalahgunakan jabatan dan agensi kerajaan untuk kempen pilihan raya.

Penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran konvensyen ini adalah sambungan kepada berbagai-bagai tindakan songsang kerajaan Umno-BN bagi mempersundalkan demokrasi demi mengekalkan kuasa.

Kita masih ingat bagaimana kerajaan kleptrokrasi menggunakan pelbagai tipu helah untuk tidak mendaftarkan Pakatan Harapan (PH) setelah melihat bagaimana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau parti bunga raya mendapat sambutan luar biasa dan spontan daripada orang Melayu.

Umno-BN amat takut pakatan pembangkang menggunakan simbol tunggal seperti yang dilakukan oleh Umno-BN untuk sekian lama.

Dengan memperalatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kerajaan kleptokrat Umno-BN (ada orang kata singkatan BN itu bermaksud Bini Najib) telah membubarkan PPBM.

Umno-BN melihat PPBM sebagai pemangkin pakatan pembangkang walaupun di hadapan orang Melayu ia berkata PH dipacu oleh DAP.

Alhamdulillah niat buruk Umno-BN itu digagalkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan supaya perintah ROS terhadap PPBM itu dibatalkan.

Umno-BN lagilah kecut perut apabila parti-parti PH bersetuju menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai simbol tunggal mereka.

Pakatan Harapan guna lambang PKR

Umno-BN sekali lagi mencari helah baru untuk menggagalkan usaha PH.

Pada hari penamaan calon 28 April, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah hilang akal dalam usaha menyulitkan calon-calon PH-PKR mendaftar diri sebagai calon.

Alhamdulillah, sekali lagi niat jahat Umno-BN gagal kerana hanya seorang calon Parlimen PH dan enam calon Dewan Undangan Negeri disekat daripada bertanding atas pelbagai alasan teknikal.

Sabotaj Umno-BN ini akan berterusan sehinggalah selepas pusat-pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang 9 Mei ini.

Pelbagai tipu helah dan taktik kotor akan mereka gunakan. Pihak PH telah mendapat maklumat bahawa ada tukang kempen Umno-BN berbohong kepada orang kampung dengan mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad masih menggunakan lambang dacing.

Malah mereka sanggup berdusta kepada orang kampung yang mereka anggap bodoh bahawa jika mereka nampak Tun Dr Mahathir dengan lambang PKR, itu sebenarnya adalah palsu dan berupa sabotaj pembangkang terhadap Dr Mahathir.

Hatta ketika pengundian sekali pun mereka akan cuba menggagalkan hasrat rakyat untuk berubah dengan menggunakan taktik kotor dan ancaman.

Ketika mengira undi, ejen-ejen Umno-BN akan menggunakan pelbagai tipu helah untuk mendapatkan setiap undi bagi calon mereka khususnya dalam kiraan undi ragu.

Dulu ketika mereka kuat, Umno-BN mengatakan bahawa pilihan raya adalah bebas dan undi adalah rahsia. Sekarang bila mereka sedar mereka akan kalah, mereka gertak pengundi bahawa undi mereka boleh dikesan.

Sasaran utama kempen tipu ini adalah orang kampung, peneroka Felda, kakitangan awam, anggota polis dan tentera.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang kini adalah Naib Presiden PPBM berulang kali memberi jaminan bahawa undi adalah rahsia dan SPR tidak akan tahu siapa mengundi parti mana.

Jadi beliau berkata, jangan takut untuk mengundi menjatuhkan BN.

Umno-BN juga akan terus tabur duit. Bukan duit Najib tapi duit kita sendiri yang dikutipnya melalui GST dan macam-macam lagi cukai dan yuran.

Umno-BN bagi kita ambil. Tak cukup minta lagi. Takkanlah harga diri kita hanya dua kilo beras pecah dan satu kilo gula?

Hampir dengan hari mengundi, Umno-BN mungkin hantar lori bawa segala macam peralatan elektrik percuma. Ambil tapi jangan jadi hamba dan pengemis dengan mengundi BN. Ambil habuan kita tapi jangan pangkah dacing.

Akhir sekali kita yang mahukan perubahan untuk menyelamat dan membina semula negara kita yang dicintai ini kenalah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan sekiranya Umno-BN kalah tipis.

Pelbagai tipu helah dan provokasi akan mereka lakukan untuk mensabotaj kehendak rakyat jelata.

Selebihnya kita berserah kepada Allah yang Maha Esa agar niat baik kita diberkati dan kita dijauhi segala musibah.

Ingat RABURakyat Akan Buang Umno.

Insya Allah.

Sumber: The Scribe A Kadir Jasin

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment