#SEJENAK ~ Kisah Ustaz Fadzil , Ahmad Awang tentang Mahathir

Oleh: Mohd Fadli Ghani


PADA suatu hari, di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dalam tahun 1998. Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS yang juga Pengerusi Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) telah mengadakan mesyuarat bulanan GERAK kerana membincangkan langkah-langkah menghadapi kezaliman Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Hadir sama dalam pertemuan ini termasuk Ustaz Ahmad Awang (ketika itu Yang Dipertua PUM), Lim Kit Siang (DAP), Dr Dzulkifli Ahmad (Isma), Dr Syed Hussin Ali (PRM), Mahfuz Omar (PAS) dan lain-lain. Saya juga hadir kerana ketika itu, Ustaz Fadzil melantik saya sebagai Pegawai Khas GERAK.

Mesyuarat memutuskan supaya Ustaz Fadzil mengutuskan surat kepada Dr Mahathir kerana isu kezaliman ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditahan di bawah ISA kerana kes liwat.

Saya sendiri yang mendrafkan surat itu, seusai mesyuarat tersebut dan menunjukkannya kepada Ustaz Fadzil. Ketika saya masuk bertemu dengan Ustaz Fadzil, beliau sedang berbual dengan Ustaz Ahmad Awang tentang lawatan pemimpin PUM itu ke Mesir. Ustaz Fadzil meneliti setiap perkataan pada surat tersebut. Tiba-tiba...
"Orang zalim seperti Dr Mahathir tidak akan mendapat rahmat Allah!" bentak Ustaz Fadzil.
Terdiam Ustaz Ahmad Awang dan saya yang berada di sisinya kerana kerasnya bantahan Presiden PAS itu. Rupanya Ustaz Fadzil memberi komen terhadap perenggan terakhir surat yang saya drafkan. Saya menulis, "Akhirnya, dengan kerjasama YAB Datuk Seri saya mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga Allah merahmati..."

"Orang yang zalim seperti Mahathir dilaknat Allah. Allah tidak beri rahmat kepada orang sepertinya. Jangan doa rahmat untuk orang jahat! Buang perkataan tu," arah Ustaz Fadzil kepada saya selepas menjelaskan sebabnya.

Kisah ini mungkin Dato' Mahfuz Omar (ketika itu Ketua Sekretariat GERAK) sudah lupa kerana beliau pun tidak hadir dalam pertemuan dengan Ustaz Fadzil itu. Muna Izzah dan suaminya lagilah... mungkin tidak tahu kisah marahnya Ustaz Fadzil kepada Dr Mahathir lantaran kezalimannya. Ketika ini Muna dan Faiz Fadzil masih belajar di UIA! Ustaz Fadzil menentang Dr Mahathir sampai akhir hayatnya.

Tiba-tiba sekarang Dr Mahathir mendakwa Ustaz Fadzil "penasihat agama"nya, dan dia diberikan layanan oleh sebahagian keluarga Ustaz Fadzil kerana ziarahnya ke kubur tokoh PAS itu beberapa hari lepas.

MOHD FADLI GHANI
Bekas Pegawai Khas GERAK
21 Syaaban 1439 / 7 Mei 2018 – HARAKAHDAILY

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner

0 comments: