#LIGA SUPER ~ Kedah dimalukan pasukan tercorot

PARA pemain Kelantan bersorak selepas Pemain Kelantan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah (dua dari kiri) menjaringkan gol kedua pasukan Kelantan pada Perlawanan Liga Super Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO

ALOR SETAR - Hasrat Kedah untuk merampas kedudukan Perak di tempat ketiga terkandas selepas tewas 1-2 kepada pasukan tercorot Kelantan dalam perlawanan ke-14 Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Terdahulu, tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi sepakan penalti Paulo Rangel selepas pemain dari Brazil itu dikasari di dalam kotak penalti.

Bagaimanapun pada babak kedua, skuad Red Warriors bangkit menyamakan kedudukan menerusi Nik Azli Nik Alias pada minit ke-55, sebelum Muhammad Danial Ashraf Abdullah menjaringkan gol kemenangan, tiga minit berselang.

Ia merupakan kekalahan kedua buat skuad kendalian Muhammad Nidzam Adzha itu yang terdahulu tewas kepada Melaka United 0-2, pada Jumaat lalu, sekali gus kekal di tangga keempat dengan 21 mata.

Sementara Kelantan, yang kekal di tangga tercorot meskipun menang ke atas Kedah, berjaya memperoleh motivasi berharga selepas tewas empat kali berturut-turut sejak 11 Mei lalu.

Di Stadium Perak, tuan rumah PKNP bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu 2-1.

Skuad Penyu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim terdahulu berada di depan hasil percubaan Tchetche Kipre yang menerjah jaring PKNP pada minit ke-29.

PKNP bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan di babak kedua apabila kapten Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi menyempunakan sepakan penalti pada minit ke-52.

Nama Shahrel Fikri sekali lagi menjadi sebutan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62, dengan skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu mempertahankan kedudukan 2-1 sehingga wisel penamat.

Sementara itu, satu lagi saingan Liga Super menyaksikan Kuala Lumpur gagal mengekalkan rentak kemenangan apabila tewas 3-4 di tangan Melaka United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.- UTUSAN ONLINE

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Post a Comment