#PILIHANRAYA ~ Haram Tipu Pengundi - Mufti Perlis

Setiap satu perkara yang dijanjikan dalam manifesto parti politik wajib ditunaikan kerana kegagalan dalam melaksanakannya disifatkan sebagai satu penipuan.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, tindakan menyenaraikan pelbagai janji manis dan popular bagi meraih undi sedangkan sedar mereka tidak mampu melakukannya menyebabkan perbuatan tersebut haram.

“Penipuan sering berlaku dalam musim pilihan raya. Antaranya mempamerkan manifesto bohong yang pihak meletakkan itu sendiri mengetahui bahawa mereka tidak mampu melaksanakannya.
“Demikian memberikan maklumat palsu mengenai calon yang disokong ataupun yang ditentang. Dengan maklumat yang palsu itu maka pengundi akan tertipu dan membuat keputusan yang salah,” katanya menerusi akaun Facebooknya baru-baru ini.
Kerajaan pusat yang ditunjangi Pakatan Harapan mengakui sukar menunaikan Janji 100 Hari Pakatan Harapan yang menjadi manifesto gabungan itu pada pilihan raya umum lalu dengan alasan kedudukan kewangan negara kini dalam keadaan buruk.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemenangan Pakatan Harapan membawa beban yang amat besar kerana membuat pelbagai janji kepada rakyat supaya kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia daripada sebelumnya.

Katanya, janji tersebut dibuat berasaskan pengetahuan yang tidak mencukupi kerana tidak tahu setakat mana kerosakan yang berlaku dan mendapati bahawa walaupun sudah berbuat janji dalam jangka masa 100 hari, mereka akan tunaikan 10 perkara tetapi tidak terlaksana.

Sementara itu, Mohd. Asri turut menguatkan hujah tersebut dengan dua hadis Nabi Muhammad.
“Sesiapa yang memperdaya kami (kaum Muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka.
“Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya,” kongsi beliau kepada pengikutnya di media sosial.
Hadis tersebut dipetik daripada Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban serta Riwayat Abu Daud. - UTUSAN ONLINE

Masukkan emel anda disini untuk melanggan terus posting terbaru kami ke emel anda:


Ditaja oleh FeedBurner
Catat Ulasan